KOTA KINABALU - Selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dikaitkan dengan isu skandal rasuah menerusi video yang dimuat naik sebuah portal berita beberapa bulan lalu, muncul satu lagi video dan kali ini mengaitkan nama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Dalam video tersebut seorang individu berbual dengan Kadzim dipercayai sedang meluahkan kekecewaannya untuk mendapatkan lesen melombong daripada kerajaan Sabah.
Kadzim ketika dihubungi tidak menafikan bahawa individu tersebut cuba mengadu kepadanya, namun beliau tidak mengetahui bahawa perbualan itu turut dirakam.
"Begitulah itu, dia mengadu permohonan lesen melombongnya ditolak dan marah.
"Jadi tanpa saya ketahui dia rakam untuk perangkap macam yang lain itu," katanya ketika kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ditanya mengenai dakwaan dalam video tersebut bahawa Kadzim ada menerima wang RM350,000, beliau tidak tahu mengenai wang yang disebut tetapi mengaku ada meminjam wang daripada individu tersebut.
"RM350,000 saya tak tahu, respons untuk kembalikan wang itu ialah mengenai RM50,000 yang saya pinjam dari dia tapi dia kata tak apa," katanya.
Sebelum itu, Kadzim yang dikaitkan dalam video berdurasi empat minit 29 saat itu merupakan individu kesembilan yang dikaitkan dengan video dipercayai terdapat isu skandal rasuah mengenai lesen mineral di negeri ini.