Tun M terus bidas Anwar isu halang pemimpin asing bertemunya

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing bertemu beliau.

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu, negarawan itu secara sinis berkata, Anwar boleh menafikan dakwaan itu, namun pada masa sama beliau menasihati Perdana Menteri supaya berhenti berbohong.

“Tak cukup lagikah rata-rata orang dah label dia sebagai orang yang setiap kali buka mulut, mesti bohong. Kemudian dia ulang lagi pasal anak saya mempunyai harta RM1.2 bilion.

“Ini dia asaskan kepada kenyataan (Ketua Pesuruhjaya) SPRM, (Tan Sri) Azam Baki. Tapi dia tak cerita habis yang Azam Baki kata itu adalah harta yang dijumlahkan sejak 43 tahun yang lalu.

“Sedangkan Azam Baki juga yang menyatakan harta sebenar yang termasuk saham-saham serta harta boleh lupus adalah sekitar RM450 juta,” katanya.

Tambah bekas Perdana Menteri itu, SPRM juga tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa beliau telah mengkayakan anak-anaknya menggunakan jawatannya sebelum ini.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa anak-anaknya disuruh berniaga di luar negara semasa beliau masih menerajui kerajaan dan perniagaan dalam negara hanya dibuat setelah negarawan itu berhenti daripada menjadi Perdana Menteri.

“Demi untuk meneruskan pembohongannya bahawa ada bukti berkotak-kotak tentang saya salah guna kuasa untuk kayakan ahli keluarga, dia terpaksalah teruskan dengan cerita berbilion-bilion ini.

“Hakikatnya, saya telah saman dia dan sudah lebih dua tahun sampai sekarang tak ada satu kotak pun yang dia buktikan. Cuma saya nak ingatkan dia satu perkara. Masa dia Menteri Kewangan, adik-beradik dan ahli keluarganya terima saham, kontrak dan lain-lain pemberian kerajaan.

“Jika ada yang tak percaya, ini semua telah dilapor oleh media dan senarai telah dipamer di Dewan PWTC ketika itu. Yang jelas ialah apabila dia buka mulut, dia bohong,” dakwa Dr Mahathir.