'Jika SMJ berjaya, Hajiji tak perlu rayu rakyat beri peluang kedua' - Bung

KOTA KINABALU - Jika agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) cemerlang, tidak perlu merayu dan tagih simpati rakyat untuk peluang kedua laksana SMJ 2.0, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi UMNO Sabah itu mempersoalkan secara terbuka terhadap kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang merayu supaya rakyat memberinya peluang sekali lagi untuk memerintah Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

"Saya Bung Moktar Radin, Ketua UMNO Sabah, ingin mempersoalkan secara jujur dan terbuka kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, apa yang telah berlaku kepada pelan pembangunan Sabah Maju Jaya, kenapa tiba-tiba sekarang beliau memohon dan merayu agar diberi peluang kedua untuk memimpin kerajaan negeri serta melaksanakan SMJ 2.0?

"Jika pelan SMJ yang dicanangkan sebelum ini berjalan lancar dan memberikan hasil yang memuaskan, mengapa ada keperluan untuk Datuk Seri Hajiji merayu kepada rakyat untuk memberikan peluang kedua? Kenapa meminta simpati jika prestasi SMJ benar-benar cemerlang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menegaskan bahawa jika pelaksanaan SMJ berjaya dan kepimpinan berfungsi dengan baik tiada alasan mengapa Ketua Menteri perlu merayu dan meminta simpati daripada rakyat Sabah.

"Rakyat pasti akan terus memberi sokongan dengan ikhlas tanpa sebarang permohonan daripada pihak kerajaan, manakala keputusan rakyat adalah berdasarkan prestasi dan rakyat sudah pasti lebih menghargai hasil daripada janji kosong.

"Sekiranya SMJ gagal, saya percaya rakyat juga sudah pasti memahami keperluan untuk perubahan dan pembaharuan," ujarnya.

Bagaimanapun, jika memang terdapat kekurangan dalam pelaksanaan, lebih baik bagi Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengaku secara terbuka dan memperbaikinya tanpa perlu bergantung kepada rayuan untuk diberi peluang kedua.

Tegas beliau lagi, mereka di UMNO Sabah akan terus berjuang untuk kesejahteraan dan kemajuan rakyat Sabah dan berharap agar segala usaha pembangunan dilakukan secara telus dan berkesan.

"Kepercayaan rakyat kepada kepimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa, tetapi harus dibuktikan dengan prestasi dan keberkesanan tindakan kerajaan," katanya.