Dr Akmal persoal pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengekalkan ambang persetujuan 100 peratus pemilik tanah atau hartanah sekiranya mahu melaksanakan Akta Pembaharuan Semula Bandar.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tiada keperluan untuk menurunkan ambang persetujuan tersebut kepada 80 peratus bagi tujuan pembangunan semula bandar.

Menurutnya, dasar sedia ada yang mewajibkan persetujuan penuh pemilik tanah sudah terbukti berkesan dan tidak menghalang pembangunan sebelum ini.

"Kalau tengok dulu pun (ketika) zaman (pemerintahan) BN (Barisan Nasional) kita dah bangunkan Kuala Lumpur daripada tak ada, dah jadi cantik hari ini.

"Tapi kita pakai akta yang mewajibkan 100 peratus (persetujuan pemilik). Kalau dulu boleh buat kenapa sekarang tak boleh buat?

"Kalau YB (Yang Berhormat) Menteri ( Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming) nak buat, pertama kita tidak setuju menurunkan ambang persetujuan," tegasnya dalam satu hantaran video di media sosial pada Jumaat.

Sebelum ini, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.

Usaha tersebut bagaimanapun menerima reaksi kurang senang beberapa pemimpin khususnya pembangkang termasuk wakil rakyat bebas, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menzahirkan kebimbangan nasib orang Melayu bandar yang didakwa bakal tersisih.

Dr Akmal berkata, beliau tidak menolak keperluan untuk sesebuah kawasan bandar dibangunkan semula, namun mahu kerajaan memberi jaminan bahawa pindaan akta tersebut tidak akan meminggirkan golongan miskin bandar.

“Saya nak tanya YB Menteri, kalau rumah flat bawah RM200,000 seperti di Wangsa Maju dirobohkan untuk pembangunan baharu, boleh tak pastikan rumah yang dibina nanti masih dalam julat harga yang sama? Jangan sekadar bina kondominium yang hanya mampu tengok.

"Kalaulah mesti dibangunkan rumah yang jauh lebih mahal, saya nak tanya siapa yang boleh beli? Mestilah bukan golongan yang miskin bandar yang boleh beli. Akhirnya mereka terbuang jauh keluar dari bandar, jauh dari tempat kerja,” katanya.

Tambah beliau, pengalaman lalu juga membuktikan pembangunan semula boleh dilakukan tanpa menjejaskan hak pemilik tanah, seperti projek 1 Razak Mansion di Cheras.

"Alhamdulillah dibangunkan juga rumah mampu milik di situ sekurang-kurangnya dapat beli aset dalam bandar supaya mereka dekat dengan tempat kerja.

"Jadi saya mohon ahli-ahli Parlimen perhatikan, perhalusi akta ini sebelum dipersetujui," katanya.