SHAH ALAM - Pemuda Pas menempelak tindakan beberapa penganalisis politik tempatan yang memberikan pandangan supaya presiden parti berkenaan perlu ditukar semasa pemilihan pada hujung tahun ini.
Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, cadangan yang diutarakan agak lucu kerana Pas sudah mempamerkan markah cemerlang sewaktu pilihan raya, namun pemimpin utama pula disaran tukar dan melepaskan jawatan.
Menurut beliau, penganalisis terbabit sepatutnya mengkritik UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandangkan markah prestasi kedua-duanya lebih rendah berbanding Pas.
“Waktu pencapaian terbaik Pas dalam pilihan raya iaitu memiliki jumlah kerusi paling banyak di Dewan Rakyat, menjadi kerajaan di empat negeri dan mempunyai wakil di hampir semua Dewan Undangan Negeri (DUN), penganalisis politik berkenaan saran supaya presiden Pas ditukar. Memang lucu.
“Lebih mengejutkan, walaupun UMNO dan PKR dapat markah rendah dalam pilihan raya, UMNO lulus usul supaya jawatan presiden serta timbalannya tidak dipertandingkan manakala PKR berkira-kira untuk buat perkara sama.
“Kedua-duanya dapat markah rendah tapi tak mahu tukar kepala (presiden), ini yang patut penganalisis kritik. Pas walaupun markah tinggi masih buka ruang kepada mana-mana ahli untuk bertanding, tak pernah ada usul supaya jawatan presiden serta timbalan presiden tidak dipertandingkan,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk memimpin parti selepas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berpandangan, kedudukan ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang lebih senior dalam parti serta mempunyai karakter sesuai membolehkan beliau antara individu tepat untuk menyambung legasi kepimpinan Pas.
Penganalisis politik yang juga pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali turut senada dengan pandangan tersebut kerana Tuan Ibrahim bukan sekadar ulama, tetapi mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti Abdul Hadi.
Justeru, Afnan Hamimi berpendapat, kedua-dua penganalisis politik berkenaan perlu mengemukakan analisis dengan nilai akademik dan objektiviti yang adil.
“Orang lebih hormat penganalisis begitu berbanding penganalisis yang cari makan, analisis ikut tuan bagi makan,“ ujarnya.