Tun M dakwa Anwar halang pemimpin negara asing daripada bertemunya

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalang beberapa pemimpin negara asing daripada bertemu dengan beliau.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, pemimpin-pemimpin yang disekat berkenaan merupakan rakan beliau sendiri.

“Ada pemimpin negara asing dari dua tiga buah negara minta nak jumpa saya, oh (Anwar kata) tak boleh jumpa.

“Pemimpin itu kawan saya, kenal dengan saya. Mereka datang ke Malaysia nak jumpalah dengan saya, (namun Anwar cakap) oh tak boleh. Jadi beliau yang potong semua hubungan,” dakwanya ketika ditemu bual dalam podcast Apa Cerita? bertajuk Menyelusuri memori Dr Mahathir dan persahabatan beliau bersama Tun Daim Zainuddin yang dimuat naik di YouTube pada Selasa.

Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi mendakwa, penyokong Anwar sendiri turut dilarang berjumpa dengannya dan dikenakan tindakan sekiranya berbuat demikian.

“Bukan sahaja bertemu dengan saya, orang lain nak jumpa saya pun tak boleh, tak dibenarkan. Kalau ada penyokongnya jumpa saya, beliau ambil tindakan," katanya.

Dr Mahathir berpandangan sekiranya hubungan beliau dengan Anwar berkeadaan baik sekarang, pastinya banyak masalah negara dapat diselesaikan secara bersama.

Namun, dakwanya lagi, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukanlah seorang pemimpin yang boleh menerima nasihat.

“Anwar bukan orang yang nak terima nasihat. Saya boleh bagi nasihat, saya juga boleh bagi pendapat. Saya fikir bila kita bincang, kita boleh selesaikan banyak masalah seperti ekonomi, politik, sosial dan masalah peribadi tapi beliau langsung tak nak bertemu dengan saya.

“Macam mana nak berdamai? Boleh dengan syarat beliau (Anwar) mengaku tuduhannya bahawa saya curi duit tidak benar. Kalau dia mengaku yang tu saya sangguplah (berdamai),” katanya.

Pada 30 Mei tahun lalu, Dr Mahathir dilapor mencabar Anwar untuk memberitahu keberadaan wang kerajaan yang didakwa dicuri dan dimiliki beliau.

Dr Mahathir berkata, beliau sanggup membawa pulang seratus peratus duit yang dikatakan ada padanya dan didermakan kepada orang miskin.

Sebelum itu, Anwar mendakwa Dr Mahathir mencuri berbilion duit kerajaan semasa menjadi Perdana Menteri.