Dedah nama pemimpin asing dihalang temui Tun M - Muhammad Kamil

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa untuk mendedahkan nama pemimpin negara asing yang didakwa telah dihalang daripada bertemu dengannya.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, melalui hantaran di laman X pada Rabu berkata, jika Dr Mahathir enggan menyebut nama-nama pemimpin tersebut, maka beliau dianggap berbohong.

“Pemimpin mana? Dari negara mana? Jika tidak, Tun bohong,” katanya.

Muhammad Kamil juga mendakwa, Dr Mahathir sengaja mencipta persepsi buruk dan meraih simpati politik.

Beliau menambah, tindakan berbohong adalah sesuatu yang tidak baik.

"Tak baik bohong, Tun. Dosa," tulis beliau.

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam podcast Keluar Sekejap mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghalang beberapa pemimpin negara asing daripada bertemu dengannya.

Menurut Dr Mahathir, pemimpin-pemimpin yang disekat itu adalah rakan-rakannya sendiri.