Hasil kutipan cukai LVG, DST patut dikembalikan kepada rakyat

SHAH ALAM - Kerajaan sepatutnya mengembalikan semula hasil kutipan cukai barangan bernilai rendah (LVG) bernilai RM476.1 juta dan RM1.6 bilion daripada cukai perkhidmatan digital (DST) kepada rakyat.

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, jika tidak, kerajaan digesa untuk menjelaskan cara kutipan daripada kedua-dua cukai baharu yang mula dilaksanakan tahun lepas itu akan digunakan untuk memanfaatkan rakyat.

“Ini kerana dilaporkan baru-baru ini kos peralatan sekolah telah mencecah RM200 sehingga membuatkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh ‘terkejut’ dan turut menjadi tular di media adalah harga santan mencecah RM20 sekilogram.

“Diingatkan, langkah kerajaan menarik balik subsidi diesel tahun lepas telah menyebabkan kos pengangkutan naik, sehingga pengusaha bas sekolah mengeluh dan berhasrat menaikkan harga tambang.

“Ditambah lagi dengan kenaikan tarif elektrik yang kononnya tidak menjejaskan 85 peratus pemegang akaun domestik, MCA bimbang bahawa kenaikan kos operasi ini akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna biasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Lawrence, rakyat sudah tentu berasa kecewa apabila kerajaan memperkenalkan dasar-dasar yang membebankan, ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin memeritkan.

Justeru katanya, kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci mengenai cara kutipan cukai-cukai baharu itu akan digunakan untuk meringankan beban kewangan rakyat bagi memastikan mereka terus yakin dengan kerajaan.

“Kerajaan juga harus mempertimbangkan pelaksanaan semula GST, mungkin pada kadar yang lebih rendah seperti 3-4 peratus pada peringkat permulaan.

“Sistem GST diakui lebih telus, adil dan cekap oleh rakyat, komuniti peniaga, pemain industri malah ahli-ahli politik parti kerajaan sendiri,” jelasnya.