KUANTAN - Kebimbangan petugas kesihatan mengenai Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar diberi perhatian dan diteliti semula agar pelaksanaannya mencapai matlamat disasarkan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Chan Chun Kuang berkata, perkara itu kini menjadi isu hangat dan mencetus pelbagai reaksi berbeza dalam kalangan petugas kesihatan.
Menurutnya, walaupun WBB bertujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan serta memperbaiki perkhidmatan kepada masyarakat, namu terdapat kebimbangan dan ketidakcukupan telah disuarakan para petugas kesihatan dalam Majlis Libat Urus Sesi Town Hall baru-baru ini.
"Cadangan WBB itu berpotensi berlaku pengurangan elaun yang menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan penting bagi petugas kesihatan khususnya mereka yang bergaji rendah atau berstatus kontrak.
"Sistem baharu itu juga dilihat tidak praktikal dan kurang fleksibel untuk memenuhi keperluan dinamik sektor kesihatan yang sentiasa menghadapi situasi kecemasan dan beban kerja yang berubah-ubah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Chun Kuang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, sekiranya waktu kerja tidak diatur dengan baik,ia boleh menyebabkan tekanan fizikal dan mental petugas bertambah.
"Keadaan itu dikhuatiri menyebabkan tujuan asal sistem untuk meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan mungkin gagal dicapai.
"Justeru itu, penting sistem ini diteliti semula dan ditambah baik dengan mengambil kira kesemua pandangan pihak berkepentingan, khususnya mereka yang terlibat secara langsung," ujarnya.
Walau bagaimanapun beliau berkata, inisiatif KKM menganjurkan sesi libat urus melalui Majlis Town Hall baru-baru ini wajar dipuji kerana telah memberikan ruang kepada petugas kesihatan untuk menyuarakan kebimbangan mereka.
"Pendekatan ini menunjukkan komitmen KKM di bawah pimpinan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam memahami realiti sebenar yang dihadapi di lapangan.
"Pandangan kritikal dan konstruktif perlu dilihat sebagai satu bentuk semak dan imbang yang mampu memperkukuhkan dasar pentadbiran.
"Saya yakin Dr Dzulkefly akan meneliti semua pandangan ini dan mencari jalan penyelesaian yang adil serta memuaskan semua pihak," katanya lagi.
Chun Kuang turut berharap keterbukaan seperti itu dapat diteruskan dalam setiap cadangan dasar baharu di setiap peringkat pentadbiran kerajaan pada masa hadapan.
"Penglibatan semua pihak berkepentingan menjadi kunci utama dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kebaikan bersama," ujarnya.