Gag order Titah Adendum, cubaan sekat kebebasan hak bersuara - Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan adalah tidak wajar untuk melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, permohonan perintah larangan bersuara (gag order) bagi kes berkenaan disifatkan tidak relevan selain cubaan menyekat kebebasan hak bersuara.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan hak untuk bersuara, mana-mana peraturan yang bertentangan dengan Perlembagaan tidak seharusnya diteruskan.

“Usahlah pergi sampai ke situ (gag order berhubung isu Titah Adendum), kita sepatutnya urus dengan telus dan berintegriti. Tak perlu ada apa untuk dibimbangkan hingga mahu halang.

“Ini bukan negara komunis, ini negara demokrasi. Saya rasa negara komunis pun tak buat macam itu,” katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi telefon FAST (Friendly And Smart Technology) Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Datuk Bandar MBAS, Datuk Mohd Yusri Md Daud.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, tiada keperluan untuk mana-mana pihak menyekat hak untuk menyuarakan pandangan selagi ia tidak menyalahi undang-undang.

“Sekarang zaman moden, biarlah orang bercakap, kalau salah boleh ambil tindakan atas kesalahan dia, bukan sekat kebebasan orang.

“Ia juga bukan menjurus kepada hasutan, sebab isu berkenaan sudah diketahui umum.

“Kita hantar budak-budak pergi sekolah, masuk universiti, mengaji supaya pandai, atas kepandaian itu lah rakyat bijak buat pertimbangan dan penilaian. Jangan pula kita melangkah ke belakang,” ujarnya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu jelaskan, kerajaan sewajarnya mentadbir mengikut kesesuaian dengan berlandaskan kepada kepandaian rakyat.

“Kerajaan perlu ke hadapan, rakyat kini bijak, jangan buat benda merapu, itulah nasihat saya.

“Saya cakap mewakili orang ramai sebab satu Malaysia tahu isu tersebut. Tak perlu sekat, tak gentleman lah (kalau sekat),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan tidak sepatutnya mengulangi kesilapan lalu seperti mana ketika diwujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

“Dulu orang buat ISA untuk kekang pengaruh dan kekejaman komunis jadi gunalah ISA. Akhirnya ISA digunakan untuk perkara lain, itulah susahnya bila berlaku salah guna,” katanya.

Sebelum itu, dilaporkan kerajaan akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah berkenaan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada Rabu, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil memaklumkan, kerajaan tidak pernah mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) berhubung isu Titah Adendum.

Antara alasan dikemukakan adalah untuk melindungi institusi diraja kerana perbicaraan Titah Adendum akan menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan kaum.

Ia mengundang pelbagai kritikan termasuk daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyifatkan ia suatu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara dibenar memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Najib, 72, mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.