MCA gesa kerajaan siasat penjualan saham MAHB

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera menyiasat penjualan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berlaku pada tahun 2023.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah menjual saham itu menyaksikan KWSP hanya mempunyai pegangan saham lima peratus dalam MAHB.

"Sebagai jurucakap rakyat, saya mohon kerajaan menyiasat penjualan saham MAHB oleh KWSP sepanjang tahun 2023 kerana ia membabitkan dana rakyat yang merupakan pencarum KWSP.

"Rakyat sebagai pencarum KWSP sepatutnya memperoleh manfaat. Kalau dah rugi ratusan juta, takkan nak duduk diam sahaja,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat dalam Facebook pada Selasa.

Sebelum ini dilaporkan pada 6 Januari 2023, KWSP menjual saham MAHB sekitar RM6.74 seunit iaitu pada harga paling rendah sepanjang tahun itu sehingga julatnya mencecah RM7.70 sesaham pada 1 September 2023.

Beberapa bulan kemudian melalui tawaran awam (GO), KWSP membeli semula saham berkenaan pada harga RM11 sesaham dengan menambah RM539 juta hingga RM696 juta.

Semakan harga pasaran bagi seunit saham MAHB pada 10 Januari adalah pada paras RM10.86 sesaham.

Dalam pada itu Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam turut mempersoalkan langkah terkebelakang KWSP yang bercadang menambah kepentingan kepada 30 peratus sebagai usaha menswastakan MAHB.

Menurut bekas Menteri Pengangkutan itu, tindakan tersebut jelas akan menimbulkan kemarahan rakyat, terutamanya kepada 16.1 juta pencarum KWSP.

"Macam mana boleh jual saham dengan harga murah kemudian membeli (semula) saham dengan harga lebih tinggi dan pegangan sehingga 30 peratus?

"Ini memang ganjil, 'fishy' dan amat tidak logik. Yang paling tidak masuk akal ialah KWSP rugi beratus juta ringgit dan tempoh singkat jual beli saham MAHB.

"Siapa yang patut dipertanggungjawabkan untuk kerugian ini," ujarnya.