Pas perlu menang majoriti besar

SHAH ALAM - Pas perlu menang dengan jumlah majoriti besar pada pilihan raya umum (PRU) jika mahu calon Perdana Menteri dilantik daripada parti tersebut selain mendapat sokongan rakan komponen parti lain.

Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin menyifatkan pandangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Pemuda Pas Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi bahawa calon PM dari parti tersebut adalah perkara yang tidak mustahil.

Menurutnya, walau bagaimanapun, calon PM dari parti tersebut perlu diperkukuhkan dengan ciri-ciri kepimpinan bijak, strategi berkesan dan kerjasama erat bersama pelbagai pihak dalam memimpin negara ini.

“Pandangan (Dr Tengku Muhammad Fakhruddin) logik dan ia tidak bertentangan dengan perlembagaan.

“Sekiranya mereka memenangi pilihan raya, memperoleh kepercayaan dan sokongan majoriti, tidak mustahil PM dari Pas. Orang Melayu tidak mempunyai pilihan lain selain Pas untuk memilih pada pilihan raya Umum akan datang jika sokongan terhadap UMNO terus merosot,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian pada Sabtu berkenaan Pemuda Pas mengakui parti itu memiliki calon yang mampu memenuhi kriteria serta syarat-syarat, sekali gus membolehkannya memegang jawatan Perdana Menteri.

Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, ia diperkukuhkan dengan ciri-ciri kepimpinan bijak, strategi berkesan dan kerjasama erat bersama pelbagai pihak.

Menurutnya, empat kriteria yang turut dipenuhi Pas antaranya adalah Melayu dan Islam, hubungan baik dengan istana, adil dan saksama serta kreatif mencari hasil untuk negara.

Mengulas lanjut, Mashitah berpandangan Pas akan menjadi pilihan orang Melayu jika UMNO masih lagi gagal bangkit untuk mendapatkan kembali kepercayaan kaum tersebut.

“UMNO dan Pas mempunyai akar yang kuat dalam masyarakat Melayu luar bandar, yang secara tradisinya lebih konservatif dan lebih cenderung kepada politik berasaskan bangsa dan agama.

“Kedua-dua parti ini dilihat sebagai simbol identiti Melayu-Islam yang telah lama bertapak dalam sejarah politik Malaysia, memberi mereka kelebihan kepercayaan berbanding parti-parti lain yang lebih baru seperti PKR dan Amanah,” ujarnya.

Tambahnya, selagi Pas memenangi bilangan kerusi Parlimen yang banyak seperti pada PRU ke-15, ia tidak menjadi masalah namun parti tersebut masih memerlukan kerjasama erat dengan parti-parti lain.

Mashitah berkata lagi, Pas juga perlu menampilkan calon PM mereka daripada golongan profesional agar dapat diterima secara terbuka oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.