SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menyokong desakan pesawah agar harga lantai belian padi dinaikkan berbanding RM1,500 satu tan di Semenanjung dan RM1,300 bagi Sabah dan Sarawak ketika ini.
Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan PN, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan juga perlu mengawal selia pengilang agar sebarang perbuatan manipulasi harga belian padi yang menganiaya pesawah dapat dikekang.
Ronald yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan itu selari dengan rintihan suara hati kumpulan pesawah yang kecewa dengan penetapan harga lantai belian padi yang disifatkan membunuh mereka.
"Kekecewaan pesawah ini juga bukti Kerajaan Madani tiada empati dengan kepayahan hidup rakyat, sedangkan pesawah adalah kumpulan petani yang terjejas dengan kenaikan harga diesel.
"Ini kerana jentera penuai padi dan pembajak tidak termasuk dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menyebabkan kos penghasilan padi naik berganda," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob mendesak kerajaan supaya menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 untuk satu metrik tan kepada RM1,800 bagi mengimbangi kenaikan kos mengusahakan sawah ketika
Menurutnya, harga lantai itu wajar dikaji semula untuk membantu petani 'bernafas' selepas terpaksa berdepan kos kenaikan upah jentera menuai dan membajak berikutan penyasaran subsidi diesel sebelum ini.
Sementara itu pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan mengenai penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,500 satu tan dengan semua pihak berkaitan akan dijalankan.
Ronald mendakwa, isu berkaitan sumber makanan utama negara itu gagal diselesaikan oleh kerajaan sekarang.
"Sepatutnya, kerajaan perlu lebih sensitif dengan masalah yang dihadapi pesawah demi keterjaminan makanan negara," katanya.