BN dijangka bertanding jumlah kerusi lebih kecil pada PRU16

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dijangka sedia berkompromi untuk bertanding dengan jumlah kerusi yang lebih kecil pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) asalkan jumlah kerusi dimenangi Kerajaan Perpaduan bertambah.

Ia susulan kenyataan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu gabungan berusia 50 tahun itu melepaskan ego demi mencapai kepentingan politik negara selain menegaskan mereka kini tidak boleh lagi hidup atas kejayaan silam.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, jangkaan tersebut tidak hanya bersandarkan kenyataan Ahmad Zahid pada Sabtu kerana hasrat BN untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU16 bukan lagi rahsia sebagaimana yang pernah dinyatakan pada Jun lalu.

**media[2920718]**

Menurutnya, kenyataan Ahmad Zahid menggambarkan kesedaran Presiden UMNO itu akan ketidakmampuan BN untuk bangun dalam tempoh terdekat bagi menyaingi Perikatan Nasional (PN), justeru bekerjasama dengan PH dilihat lebih menguntungkan meskipun tidak menjadi parti dominan.

“Saya menilai BN dan PH akan menggunakan formula penyandang bertanding di kerusi dimenangi masing-masing untuk bertanding dalam PRU16 akan datang dan terdapat pertukaran kerusi antara BN dan PH berdasarkan kepada komposisi kaum pengundi di kawasan tertentu.

“Misalnya di satu kawasan yang mempunyai lebih 50 peratus pengundi Melayu, maka akan diberikan kepada BN, manakala kerusi kawasan bandar akan diberikan laluan kepada PH.

“Meskipun MIC secara terbuka menolak formula penyandang diberikan laluan bertanding dalam PRU16, bagi saya suara MIC tidak mampu menentang keputusan Ahmad Zahid dan kepimpinan tertinggi BN yang akan membuat keputusan kolektif.

“Tambahan pula MIC sekarang lemah, hanya ada satu kerusi sahaja dan tidak mampu lantang secara berlebihan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ahmad Zahid ketika berucap sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 BN menegaskan, gabungan itu harus melihat dari sudut pandang lebih luas dan menyusun langkah demi mencapai matlamat lebih besar.

Sehubungan itu, Mohammad Tawfik berkata, semua pemimpin BN dan akan akar umbi perlu menerima dengan hati terbuka apa sahaja formula yang diketengahkan oleh kepimpinan parti khususnya perbincangan antara Ahmad Zahid dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana UMNO dan BN kini berada pada tahap pemulihan.

“Tidak boleh sombong untuk tamak mendapatkan banyak kerusi bertanding dalam PRU16. Apatah lagi kawasan Melayu kini masih dikuasai oleh PN.

“Maka apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid menerusi cadangan penyandang diberi laluan bertanding dalam PRU16 adalah berdasarkan kepada realiti politik semasa,” ulasnya.