Tindakan kerajaan tangani rasuah tidak holistik - Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM - Pas mendakwa tindakan kerajaan reformasi Pakatan Harapan (PH) membendung isu rasuah dalam negara tidak bersifat holistik atau menyeluruh.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana semasa pemerintahan kerajaan terkini jenayah itu tidak dicegah daripada akar umbi dan hanya berfungsi terhadap penerima rasuah yang terpilih.

“Mereka membebaskan pemberi rasuah yang memberikan kerjasama dan para ‘brokernya’ berkeliaran, tetapi bertindak terhadap segelintir penerima rasuah.

“Tindakan tersebut ibarat menghapuskan penyakit wabak denggi dengan bertindak terhadap mangsa jangkitan namun membiarkan nyamuk Aedes membiak serta membiarkan kalangan pengotor menjadi angkara tempat pembiakan,” katanya menerusi ‘Minda Presiden Pas’ di Facebook beliau pada Isnin.

Tambahnya, jenayah rasuah merupakan salah satu penyakit Madani jahiliah sepanjang zaman dan bukan hanya di Malaysia seperti yang dikatakan oleh kerajaan kerana ‘Madani’ itu ialah tabii manusia mengikut fitrahnya.

“Lebih diragukan, parti dan kerajaan yang dalamannya berpenyakit rasuah bagi semua lapisan pemilihan, sehingga usaha mendapat kuasa juga membawa penyakit ini dalam semua lapisan masyarakat.

“Hal ini laksana menugaskan pencuri menangkap pencuri yang diberikan lesen dan mendapat bantuan pencuri lain pula,” ujarnya.

Tegas Abdul Hadi, Pas tetap berpendirian dengan memperkenalkan konsep pemerintahan Islam di mana-mana negeri yang diperintah walaupun banyak halangan dilakukan.