Pemikiran, pengucapan dan penampilan unik

REPUTASI dan impak sesebuah negara bergantung kepada banyak faktor antaranya kewibawaan pemimpin yang menghasilkan aura kepemimpinan hebat.

Gaya kepimpinan yang jitu mampu meningkatkan keyakinan pihak luar kepada kemampuan negara.

Meskipun seseorang Perdana Menteri itu asalnya merupakan seorang ahli politik, tetapi beliau perlu menjadi pemimpin intelek awam yang mendepani pemikiran rakyatnya.

Perdana Menteri akan sentiasa disorot dengan personaliti sama ada melalui pemikiran, pengucapan dan imej yang dibawa sehingga boleh memberi impak besar.

**media[2901676]**

Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya seorang pemimpin yang sangat unik apabila telah melalui pelbagai fasa dalam kehidupan.

Bermula sebagai seorang aktivis pelajar yang lantang bersuara sehinggalah menjadi pemimpin nombor satu negara yang penuh diplomasi dan berstrategi.

Kelantangan beliau sebenarnya masih ada namun bertempat dan ada asasnya. Misalnya dalam isu Palestin dan keadilan sejagat, beliau menjadi antara pemimpin Islam yang lantang bersuara dan berani berdepan dengan kuasa besar.

Kekuatan Anwar terletak kepada tahap ilmu yang dimilikinya melalui pembacaan buku-buku dan karya agung. Justeru, tidak mustahil dalam konteks pengucapan misalnya, beliau sering memetik kata-kata hikmah dalam buku yang dibaca bagi memperkukuhkan pandangannya terhadap sesuatu perkara.

Dalam membicarakan soal kemiskinan, beliau merujuk kepada buku Revolusi Mental, tulisan Hussein al-Attas bagaimana ia tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kepada sikap rakyat, sebaliknya melihat juga bagaimana kemungkinan sikap pemimpin yang rakus sehingga menyebabkan rakyat tertindas.

Kekuatan dan personal Anwar sememangnya terletak kepada kemampuan beliau dalam pengucapan awam. Memberi ucapan secara berkesan sangat kritikal kerana mesej perlu sampai kepada pendengar atau khususnya rakyat. Beliau bijak berucap mengikut suasana majlis dan pendengar yang mempunyai latar belakang berbeza.

Sejak dahulu lagi, beliau gemar menggunakan istilah langka dan memperkenalkan istilah-istilah baharu dalam ucapan. Terkini, istilah ketimbang yang kerap digunakan oleh beliau menjadi tular dan diperkatakan oleh khalayak ramai.

Perkembangan ini menyebabkan istilah ketimbang dimasukkan ke dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua. Ketimbang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu dan sinonim dengan perkataan daripada.

Penampilan ke pejabat tanpa tali leher juga menjadi antara tarikan gaya yang mahu dibawa Perdana Menteri. Ia melambangkan imej yang lebih santai tetapi tetap mengekalkan profesionalisme. Penampilan tanpa tali leher ini menjadi ikutan khususnya dalam kalangan penjawat awam dan kini telah pun dianggap sebagai suatu trend.

Secara tuntasnya, kekuatan Kerajaan Perpaduan banyak dipengaruhi oleh faktor personaliti Perdana Menteri yang telah menampilkan gaya kepimpinan segar dan progresif. Beliau pemimpin intelek awam yang disegani.

* Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain ialah Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT)