Pemuda MCA sambut baik komitmen BN beri ruang orang muda jadi calon

IPOH - Komitmen pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin muda sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sangat dialu-alukan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong berkata, langkah tersebut merupakan satu usaha penting bagi memastikan pembaharuan dan peremajaan dalam BN dapat terus diperkasakan.

"Kami yakin bahawa kepercayaan kepada pemimpin muda akan menyuntik tenaga baharu dan idea segar dalam perjuangan BN demi rakyat dan negara.

"Keberanian untuk membuat perubahan ini akan mengukuhkan lagi imej BN sebagai gabungan politik yang progresif, relevan, dan komited terhadap kesejahteraan rakyat secara inklusif," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Choo Seong berkata, dalam masa sama, BN perlu terus mengekalkan pendekatan sederhana yang telah lama menjadi tunjang kepada perjuangan gabungan parti itu.

Jelasnya, kesederhanaan adalah kunci untuk memastikan semua lapisan masyarakat berasa dihormati dan disatukan dalam semangat perpaduan.

Katanya, BN telah membuktikan bahawa parti itu yang mampu membawa keseimbangan dan kestabilan struktur sosial di Malaysia yang majmuk.

Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Ketua Pemuda MCA Perak menggesa agar jentera BN menguasai setiap ruang media sosial dengan lebih efektif.

"Media sosial adalah platform paling penting dan berkesan untuk menangkis naratif negatif terhadap BN dan menyampaikan mesej perjuangan secara jelas dan berkesan kepada generasi muda.

"Pendekatan ini bukan sahaja relevan tetapi kritikal bagi memastikan BN kekal kompetitif dalam landskap politik masa kini dan ke hadapan," katanya.

Beliau berkata, Pemuda MCA akan terus bersama-sama kepimpinan BN memainkan peranan dalam usaha memperkukuhkan parti.

Katanya, dengan memberi ruang kepada generasi muda, serta memanfaatkan teknologi dan pendekatan sederhana, BN mampu kembali menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan komitmen untuk terus memberi lebih banyak peluang kepada calon muda bertanding di dalam PRU16 nanti.