KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mencapai usia dua tahun pentadbiran, iaitu genap tempoh beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
**media[2901670]**
Sepanjang dua tahun pemerintahannya, NUSA Research Centre menyenaraikan 14 bentuk kejayaan yang telah pun dicapai Kerajaan Madani ketika ini, iaitu:
1. Ekonomi Malaysia naik kepada 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini didorong peningkatan eksport berterusan.
2. Dasar salur peruntukan untuk orang kaya kepada golongan pertengahan dan berpendapatan rendah (dipanggil keadilan sosial).
3. Dasar kenaikan gaji minimum RM1,700 sebulan.
4. Menggunakan kaedah salur bantu mengikut pendapatan boleh guna dan demografi seseorang, bukan lagi pukul rata mengikut pendapatan dan tanggungan semata-mata.
5. Projek mempercepatkan pembinaan jalur lebar 5G.
6. Rasuah dibanteras lebih agresif merentasi agensi kerajaan berbanding kerajaan-kerajaan sebelum ini sehingga kedudukan negara meningkat ke kedudukan ke-57 daripada 140 negara dalam indeks persepsi rasuah tahun 2023.
7. Perjuangan untuk membebaskan Palestin lebih agresif dilakukan dan sebagai acara kemuncak, Malaysia sedang memulakan usul untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
8. Mata wang Ringgit Malaysia (RM) turut meningkat di sebalik cabaran global, iaitu perang Rusia-Ukraine dan pergolakan Timur Tengah.
9. Penurunan autonomi lebih banyak khususnya bahagian kewangan dan hasil di Kepulauan Borneo menerusi kerajaan Sarawak dan Sabah.
10. Pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menaikkan insentif dan gaji kepada penjawat awam sebagai pertukaran untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
11. Kehadiran pelancong asing ke Malaysia bagi peringkat ASEAN mencatatkan jumlah terbanyak tahun 2023, diiringi Thailand.
12. Pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari-Jun 2024 melonjak kepada RM160 bilion, antaranya melalui pelancaran Zon Ekonomi Khas Malaysia-Singapura.
13. Penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah bagus sebagai alternatif dalam memastikan negara terus dapat manfaat dan tidak terjejas jika perubahan global atau hubungan geopolitik di sudut pihak lain tidak memihak kerajaan atas dasar negara kita ini.
14. Pentadbiran Anwar yang berusaha melaksanakan 23 lawatan kerja ke luar negara bagi tujuan misi penggalakan pelaburan berjaya membawa pulang nilai potensi pelaburan keseluruhan sebanyak RM436.2 juta.
ENAM CABARAN
Di sebalik 14 kejayaan besar dicapai Kerajaan Madani, Anwar masih perlu mendepani enam cabaran dan kelemahan kerajaan sedia sekiranya koalisi itu mahu terus kekal mentadbir selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Enam cabaran itu ialah:
1. Kerajaan ini dibentuk atas semua parti politik kecuali Perikatan Nasional (PN) yang bergabung di bawah Madani. Disebabkan ini, Anwar berdepan tekanan menggunung daripada pelbagai parti dan kelompok demi mencapai agenda peribadi serta manifesto parti.
Golongan pro Islam, liberal, penyokong tegar DAP semestinya menginginkan agenda kelompok mereka tercapai, begitu juga dengan penyokong pro Datuk Seri Najib Tun Razak, akar umbi UMNO dan penyokong parti-parti lokal di Sabah dan Sarawak.
2. Dengan tekanan begitu tinggi dihadapi Anwar, maka beliau menggunakan kaedah pentadbiran sendiri dan tidak terlalu mengikut kehendak golongan-golongan dan parti-parti ini. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tambun itu tetap berdepan dilema memenuhi kehendak autonomi Sabah dan Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara penuh.
Kesannya, beliau perlu berdepan keputusan memenuhi tuntutan agihan satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen untuk negeri-negeri Borneo, autonomi pendidikan serta hak pemilikan gas dan petroleum.
3. Populasi kelahiran orang Melayu lebih tinggi daripada kelahiran bukan Melayu. Secara umum kita ketahui, majoriti undi Melayu berpihak pada PN dan keduanya Barisan Nasional (BN). Anwar selaku Perdana Menteri memahami senario ini dan atas faktor itu, elemen Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam perjuangan beliau diserap masuk dalam pentadbiran kerajaan tanpa mengabaikan kaum lain.
Selain itu, hadis 40 Imam Nawawi turut dijadikan silibus di sekolah-sekolah kerajaan. Bukan itu sahaja, malahan perjuangan untuk Palestin di bawah beliau turut dianggap paling agresif selain zaman bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Anwar kini berdepan kritikan cakap ‘tidak serupa bikin’ susulan kontroversi penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat BlackRock yang dianggap pro Israel.
4. Penyasaran subsidi yang mana subsidi untuk orang kaya dan jutawan ditarik kesemuanya dan diagihkan semula dalam projek pembangunan serta bantuan kepada golongan pertengahan dan rendah yang dikatakan merangkumi 85 peratus populasi di negara ini.
Selain itu, pelbagai cukai dikenakan ke atas perkara berkaitan orang kaya, korporat dan makanan kurang sihat seperti gula.
Di sebalik langkah penjimatan dilakukan untuk mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara, Anwar juga secara tersirat mengajar keadilan sosial agar orang kaya menyumbang pada orang miskin dan elak daripada melakukan benda tidak sihat.
Namun begitu, kesan langsung tindakan ini hakikatnya menyebabkan berlakunya sedikit kenaikan harga barang walaupun tidak secara keseluruhan. Di samping itu, golongan maha kaya di negara ini mula berasa terpinggir.
Ada risiko besar langkah berani mati Anwar ini akan memberi implikasi negatif terhadap sokongan pengundi Pakatan Harapan (PH). Ini kerana secara umumnya, PH menjadi bank deposit undi orang kaya, golongan liberal, pengundi atas pagar hatta orang Melayu sekali pun. Sebagai contoh, keputusan kawasan pengundian pilihan raya di Shah Alam yang diduduki ramai pengundi Melayu berpendapatan sederhana dan tinggi telah membukti sokongan terhadap PH pada siri pilihan raya terdahulu.
5. Kerajaan Madani juga menghadapi cabaran daripada blok pembangkang dan segelintir rakyat Malaysia yang bermain isu 3R (Raja, Kaum dan Agama) dan senario ini menyukarkan usaha Anwar menutup mulut mereka kerana bimbang kehilangan undi.
Justeru, undang-undang pelesenan media sosial, pindaan Akta Percetakan dan Penerbitan termasuk tindakan lebih keras dalam soal 3R khususnya yang menghina Yang di-Pertuan Agong telah dilaksanakan.
Namun begitu, tindakan sebegini mengecewakan golongan liberal seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang memberi gred D kepada kerajaan Madani disebabkan mereka beranggapan kerajaan tidak memperjuangkan kebebasan bersuara.
6. Akhir sekali, kerajaan menerima tekanan teruk daripada PN dan penyokong pro Najib kerana membuat atau menyambung dasar murni dilakukan sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri keenam itu yang dikatakan seolah-olah ‘meludah ke muka sendiri’.
Contohnya, projek Pan Borneo dipercepatkan, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) disambung dan serta program Bakul Rahmah diteruskan. Boleh dikatakan pentadbiran Anwar ini gabungkan idea sendiri dengan menyambung polisi kerajaan terdahulu yang cukup baik untuk negara.
Inilah antara dilema terpaksa dihadapi kerajaan pimpinan Anwar menuju penghujung penggal pentadbiran yang berbaki tiga tahun lagi. Justeru, kerajaan perlu mendepani kesemua cabaran besar berkenaan jika mereka menginginkan ketahanan kerajaan berkekalan, dan negara serta rakyat lebih makmur.Akhir kata, semoga Kerajaan Madani mampu bertahan dan terus menunjukkan prestasi perkhidmatan cemerlang sehingga tamat penggal.
*Arif Anwar Lokmanol Hakim ialah Penyelidik politik Nusa Research Centre