SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan ada mengeluarkan kenyataan bertajuk 'Dalam politik tidak salah fitnah untuk mendapatkan sokongan' seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Tangkap layar tajuk berita palsu yang tersebar itu turut menggunakan logo akhbar Sinar Harian.
Takiyuddin memberitahu, beliau tidak ada menyebut atau mengeluarkan kenyataan yang tidak logik atau seumpamanya.
"Sedang tular tajuk utama sebuah akhbar berita palsu di media sosial berkaitan saya.
"Ia nyata cubaan pihak tertentu untuk memburukkan Pas dan mempunyai niat yang tidak baik," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu bagi memberi penjelasan berhubung tangkap layar laporan berita palsu yang tersebar bertajuk 'Dalam politik tidak salah fitnah untuk mendapatkan sokongan'- Takiyuddin Hassan.
Tajuk berita sebenar yang dikeluarkan oleh akhbar Sinar Harian ialah 'Pas ingatkan ahli jangan fitnah lawan politik'.