PN setuju kembali ke meja rundingan

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pertemuan telah diadakan antara beliau dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hamzah menekankan bahawa kesediaan itu jika kerajaan bersetuju untuk memberikan perjanjian yang adil bagi kedua-dua belah pihak.

“Mungkin kita boleh duduk dan fikirkan secara yang lebih terbuka dan adil kepada semua. Jangan hanya fikir satu pihak sahaja, draf itu hanya di sebelah dia (kerajaan) sahaja. Sebab itu kita tak boleh terima.

“Bagaimanapun kalau (MoU) adil seperti yang saya katakan iaitu sebuah kerajaan yang boleh memberikan kebajikan kepada rakyat, benar-benar memikirkan tanggungjawab untuk masa depan negara, kita tak boleh tentang begitu sahaja.

“Kalau sebuah kerajaan itu tak adil, tak nampak sesuatu yang memberikan kebajikan baik untuk rakyat dan negara, saya lebih suka menjadi pembangkang dan terus membangkang perkara-perkara tidak baik yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Interviu yang dihoskan Penolong Pengarang Berita (Digital) Sinar Harian, Mohd Fazli Zainul Abidin yang diadakan di pejabatnya di Bukit Tunku di sini pada Rabu.

Hamzah juga menegaskan, PN menolak sebulat suara dua set draf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan sebelum ini kerana ia tidak adil untuk mereka dan rakyat.

“Sebenarnya, semua orang sudah tahu dan boleh baca bila draf MoU itu dikeluarkan. Apakah ia adil? Saya rasa ramai rakyat bersama dengan kami dan kata, jangan sain.

“MoU itu langsung tidak memberikan ruang untuk kita berbicara tentang kebajikan, keadilan, kesamarataan untuk memastikan kami sebagai pembangkang ini, ada semak dan imbang.

“Sepatutnya kalau rasa ini tak betul, kita boleh tegur. Kalau semua perkara kita tak boleh tegur, maknanya takut nanti masa depan negara akan lebih teruk daripada apa yang kita idam-idamkan,” katanya.

PN sebelum ini menolak MoU berkenaan atas empat sebab fundamental yang antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.