SHAH ALAM - Tidak mustahil Parti Warisan Sabah (Warisan) akan bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada tahun depan.
Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Sabah, Dr Romzi Ationg juga tidak menolak kemungkinan Warisan akan turut bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN nanti.
Beliau berkata, ini kerana tiada perkara mustahil berlaku dalam arena politik Malaysia selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya pasca Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
"Dalam arena politik negara, khususnya Sabah, apa yang tidak kita jangkakan ada kalanya boleh berlaku. Begitu juga halnya dengan kemungkinan pakatan antara parti-parti tertentu di Sabah.
"Tambahan pula semua pengundi sebenarnya amat berharap semua pemimpin, tidak kisah daripada parti mana pun, asalkan mereka dapat melaksanakan peranan untuk membangunkan Sabah, bukan mementingkan diri," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Romzi berkata demikian ketika mengulas laporan yang mendakwa impian Warisan bekerjasama dengan parti tempatan Sabah pada PRN akan datang mungkin sukar direalisasikan.
Ini kerana PBN dan STAR kini adalah sebahagian daripada koalisi Gagasan Rakyat Sabah yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Berikutan itu, penganalisis tidak melihat mana-mana parti ini akan berpisah dengan GRS selepas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak kemungkinan bekerjasama dengan GRS pimpinan Hajiji kerana menyebabkan 11 wakil rakyatnya melompat parti.
Bagaimanapun, Romzi berpandangan sebaliknya kerana setiap pemimpin mempunyai kelebihan dan hala tuju politik masing-masing yang mungkin sesuai untuk tujuan tersebut.
"Jadi isu kemungkinan koalisi hanyalah sebahagian daripada proses demokrasi di negeri ini kerana akhirnya keupayaan kerajaan terbentuk selepas PRN yang menjadi harapan rakyat Sabah," katanya.
Terdahulu, Mohd Shafie menegaskan pendiriannya untuk tidak akan bekerjasama dengan parti yang pernah 'mencuri' Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Warisan.
Beliau berkata, walaupun pernah ada pemimpin mahu bekerjasama dengannya namun akhirnya pemimpin tersebut mengambil wakil rakyat partinya.