SHAH ALAM - DAP menyifatkan masa masih terlalu awal untuk berbicara mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) khususnya sama ada DAP bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam tempoh masa ini DAP lebih memberikan fokus dengan kerjasama yang telah terjalin dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jadi kalau kita dapat membina ekonomi kukuh dan mentadbir negara dengan baik dalam masa tiga tahun akan datang, sudah tentu kerjasama ini, kita harap dapat diteruskan selepas pilihan raya,” katanya.
**media[2882226]**
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Selangor di Shah Alam di sini pada Ahad yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Anthony Loke juga menyifatkan kerjasama antara DAP dan BN di peringkat Persekutuan pada masa ini adalah sangat kukuh selain barisan Jemaah Menteri yang berfungsi dengan lancar.
“Saya rasa kita telah mencapai satu kestabilan politik kukuh pada hari ini dan sudah dua tahun, politik sudah stabil.
"Paling penting sekarang ini bagaimana menggunakan kekuatan dan kestabilan politik ini untuk membina kekuatan ekonomi,” ujarnya.
Sementara itu mengenai perkembangan di Selangor, Anthony Loke berkata, DAP melihat satu perkembangan baik apabila terdapat ramai pemimpin muda berbakat boleh diketengahkan pada pilihan raya di negeri ini.
Beliau bagaimanapun berkata, jumlah kerusi Parlimen yang agak terhad mungkin menyebabkan beberapa pemimpin yang aktif di negeri itu terpaksa bertanding di negeri lain.
“Selangor memainkan peranan penting untuk membantu perkembangan DAP di negeri lain, banyak calon yang bagus tetapi jumlah kerusi Parlimen terhad,” tambahnya.