Desakan PM tingkat tekanan kepada Israel

SHAH ALAM – Desakan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Israel disingkir atau digantung daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berupaya meningkatkan tekanan diplomatik kepada rejim Zionis yang mungkin membantu gencatan senjata.

Penyelidik Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Nurhazim Mohd Norhisyam berkata, namun keberkesanannya bergantung kepada beberapa faktor kritikal yang berkait rapat dengan sokongan antarabangsa dan strategi diplomasi yang menyeluruh.

Katanya, seruan Anwar untuk menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB adalah langkah tegas yang mempunyai kesan simbolik dan politik yang besar.

“Walaupun langkah ini sukar dicapai kerana perlunya sokongan daripada Majlis Keselamatan PBB, desakan ini boleh menarik perhatian dunia kepada keseriusan situasi di Palestin.

“Resolusi-resolusi yang diusulkan di Perhimpunan Agung PBB meskipun tidak mengikat secara undang-undang, tetapi boleh memberikan tekanan moral dan politik yang lebih besar kepada Israel, dan jika disokong oleh negara-negara yang berpengaruh, ia boleh membawa kepada sekatan ekonomi atau sokongan kewangan kepada Palestin,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Anwar sebelum ini dilapor menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB.

Menyampaikan kenyataan negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara-Islam di Riyadh, Arab Saudi, pada Isnin, Anwar berkata, kekejaman Israel telah merebak ke beberapa negara termasuk Lubnan serta Iran dan jika dunia berpaling pada saat ini, keganasan terbabit tidak akan kekal terhad malah ia pasti akan menyemarak serta mengancam seluruh dunia.

Muhammad Nurhazim menjelaskan, biarpun suara kolektif negara-negara Islam penting, sokongan daripada negara yang lebih berkecuali serta kuasa besar seperti China, Rusia dan Eropah juga kritikal dalam mencapai gencatan senjata.

Menurutnya, negara berkenaan boleh menjadi pihak mempengaruhi rundingan kerana kedudukan mereka yang lebih neutral atau keupayaan mereka untuk menekan Israel dan sekutunya mengurangkan ketegangan.

“Desakan Perdana Menteri ini juga mungkin lebih berkesan jika turut berusaha meraih sokongan daripada komuniti antarabangsa di Amerika Syarikat (AS) termasuk pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media,” ujarnya.

Muhammad Nurhazim berkata, ia kerana realitinya sokongan kuat AS kepada Israel masih merupakan halangan utama kepada sebarang tindakan PBB terhadap Israel kerana AS sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan PBB dengan kuasa veto sering melindungi sekutunya itu dalam pelbagai isu yang dibawa ke PBB.

“Selain tekanan diplomatik, desakan Malaysia untuk negara-negara Islam dan Arab bersatu boleh diluaskan dengan usaha tambahan dalam bidang ekonomi. Sebagai contoh, kempen boikot produk tertentu atau sekatan perdagangan dengan syarikat yang menyokong operasi ketenteraan Israel boleh memberi impak tambahan kepada ekonomi Israel.

“Kenyataan tegas Perdana Menteri ini juga membawa perhatian media antarabangsa terhadap konflik Palestin-Israel. Apabila negara-negara lain mendengar desakan Malaysia dan memobilisasi sokongan dari rakyat awam melalui platform media sosial dan saluran berita antarabangsa, ia boleh meningkatkan kesedaran global dan memberikan tekanan moral terhadap Israel,” ulasnya.