SHAH ALAM - Kerajaan Madani disarankan supaya melaksanakan urusan pertambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak bagi memenuhi kuota peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berperingkat dan bukan sekali gus.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, meskipun kerajaan komited menyelesaikan janji penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak berasaskan MA63 selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), masih terdapat beberapa kekangan menyukarkan perkara itu dilaksanakan melalui satu urusan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya sahaja.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan kekangan terbesar adalah dari sudut jumlah taburan pengundi di kawasan-kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Kita ambil contoh jumlah daftar pemilih di Parlimen Kinabatangan di Sabah sekitar 46,382 orang setakat Ogos tahun ini sedangkan jumlah pengundi di Parlimen Bangi sudah melebihi 300,000 orang.
“Berdasarkan jurang perbezaan taburan pengundi yang ketara, kawasan mana lebih terdesak untuk ditambah bilangan kerusi Parlimen? Bagi saya biarlah nampak ada pertimbangan saksama dalam menambah bilangan kerusi Parlimen.
“Boleh bagi sedikit penambahan kuota kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah sebanyak lima kerusi, tetapi tidak perlu sampai perlu penuhi keseluruhan kuota satu pertiga diperuntukkan dalam MA63 sekali gus,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menegaskan pelaksanaan bagi pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanya dimuktamadkan selepas PRU16 diadakan.
Sebelum ini, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak telah menyuarakan tuntutan kepada kerajaan Pusat untuk mematuhi janji pengagihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada dua negeri berkenaan atau sepatutnya tambahan 18 kerusi daripada jumlah 56 kerusi diperuntukkan kepada mereka ketika ini.
**media[2885819]**
Isu tuntutan kerusi Parlimen dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada September lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali terakhir berlaku persempadanan semula melibatkan kerusi Parlimen adalah pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 ahli Dewan Rakyat iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada 222 kerusi.
Mengulas lanjut, Ab Rashid menjelaskan tiada ketetapan satu tempoh masa diperuntukkan dalam MA63 dalam memastikan urusan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak mengikut kuota satu pertiga perlu dilaksanakan segera.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan Pusat boleh menunaikannya dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga kali urusan kajian persempadanan semula dilaksanakan SPR.
“Jika keseluruhan urusan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dibuat mengikut kuota ditetapkan dalam tempoh kajian persempadanan semula kali ini, saya bimbang akan berlaku ketidakstabilan dari sudut mengimbangi kepentingan penambahan kerusi di kawasan semenanjung.
“Meskipun terikat dengan MA63, Sabah dan Sarawak kena memahami langkah menambah kerusi Parlimen akan melibatkan implikasi kewangan besar dan impak politik jangka masa panjang terhadap kerajaan Persekutuan. Justeru, pelaksanaannya tidak boleh sekadar mengambil kira kepentingan negeri masing-masing semata-mata,” ujarnya.
Secara peribadi, Ab Rashid berpandangan adalah lebih baik SPR dan kerajaan Pusat menumpukan kepada usaha melaksanakan pemindahan pengundi dari kawasan Parlimen berkepadatan penduduk tinggi ke kawasan berdekatan yang kurang pengundi.
“Sebaiknya kita mencontohi negara India yang memiliki jumlah pengundi sebanyak 850 juta, tetapi hanya menetapkan kawasan Parlimen sebanyak 500 sahaja.
“Tidak guna juga ada terlalu ramai ahli Parlimen sekiranya kualiti perbahasan di Dewan Rakyat masih di takuk rendah di tambah perkhidmatan mereka di kawasan tidak mencapai standard tinggi... Senario ini jika berterusan berlaku hanya membazir duit rakyat sahaja,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar turut berkongsi pandangan sama dengan Abdul Rashid.
Beliau menggariskan faktor kewangan, demografi dan topografi sebagai alasan utama cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebagaimana tuntutan MA63 tidak sesuai dilaksanakan secara sekali gus.
“Faktor beban kewangan kepada negara perlu diambil kira. Jangan sekadar buat tambahan kerusi Parlimen semata-mata atas desakan politik.
“Bagi faktor demografi dan topografi pula, tidak sesuai sesuatu Parlimen baharu diwujudkan sekiranya mempunyai bilangan pengundi terlalu kecil.
“Justeru saya berpandangan pertambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak boleh dibuat secara dua peringkat iaitu melalui tambahan 10 kerusi Parlimen pada kajian persempadanan pilihan raya kali ini dan bakinya dilaksanakan dalam urusan kajian persempadanan akan datang,” katanya.