SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera membuka kertas siasatan berhubung pendedahan seorang pemberi maklumat mengenai rakaman video didakwa skandal rasuah membabitkan lapan ADUN termasuk pemimpin tertinggi kerajaan negeri Sabah seperti tular di media sosial, baru-baru ini.
Setiausaha Politik kepada Ketua UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, tindakan itu perlu kerana perbuatan menerima dan memberi rasuah adalah menyalahi moral dan undang-undang negara termasuk Akta SPRM serta melibatkan kepentingan awam.
Berikutan itu, Abdul Aziz menggesa SPRM segera membuka kertas siasatan berhubung pendedahan terbabit biarpun sehingga kini tiada laporan rasmi dibuat.
“Saya melihat SPRM wajar membuka kertas siasatan kerana dakwaan whistleblower berkenaan mesti mempunyai asas tersendiri dan membabitkan banyak pihak, bukan hanya lapan ADUN bahkan pemimpin tertinggi kerajaan negeri Sabah sekarang.
“Tambahan pula whistleblower berkenaan mendakwa dia sudah menghantar maklumat berkaitan kes rasuah membabitkan pemimpin politik berprofil tinggi di Sabah berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Sinar Premium.
Abdul Aziz berkata, beliau juga sudah menjangkakan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob akan menafikan pembabitannya dalam kes berkenaan.
“Kalau rakaman itu hanya mempunyai suara seorang atau dua orang memang senang untuk dinafikan tetapi kalau membabitkan ramai individu sehingga lapan orang memang sukar untuk dinafikan.
“Cuma saya bimbang pendedahan ini akan menjadi sekadar 'ayam dan telur' serta akhirnya didiamkan sahaja. Jadi saya berharap SPRM tidak akan berdiam diri dan terus menjalankan siasatan terperinci walaupun maklumat diberikan oleh whistleblower belum tentu benar atau fitnah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz melahirkan kebimbangan kes terbabit akan menjadi 'pandemik' dalam masyarakat jika tidak dibendung secepat mungkin oleh SPRM.
Ujarnya, jika dakwaan whistleblower berkenaan benar maka besar kemungkinan masalah rasuah menjadi antara penyebab kenapa Sabah kekal sebagai negeri dan daerah termiskin di Malaysia.
“Jadi saya tidak menolak kemungkinan masalah kemiskinan di Sabah berpunca daripada kalangan pemimpin parti politik dipilih dan diberikan amanah untuk membangunkan sosioekonomi di negeri ini mengkhianati mandat diberikan rakyat.
“Justeru, walaupun kita tidak tahu sama ada wakil rakyat disebut dalam rakaman audio berkenaan pemberi atau penerima rasuah, namun saya berpandangan 'pandemik' atau penyakit rasuah ini perlu dihentikan segera dan hukuman berat mesti dikenakan kepada individu terbabit,” katanya.