KOTA KINABALU - Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor melihat pertemuan tidak rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah baru-baru ini satu perkara yang positif.
Ketua Menteri Sabah itu berkata, perjumpaan tersebut hanya melibatkan kedua-dua pihak berkenaan oleh itu pihaknya menganggap ia adalah urusan mereka.
"Bagi kita, kita akan melihat sesuatu itu dari sudut positifnya. Tapi, sebagai kerajaan negeri yang dipelopori oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus, ini menjadi keutamaan kita.
"Tapi, ini bukan bermakna bahawa kita tidak boleh bekerjasama dengan lain-lain parti. Kita boleh, demi kebaikan Sabah.
"Jadi, saya melihat ini sebagai sesuatu yang kita anggap positif," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan Agung Tahunan Induk Gagasan Rakyat 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi GRS mengulangi pendirian bahawa pihaknya tidak menolak mana-mana ruang kerjasama dengan parti lain.
"Mudah-mudahan, walaupun itu ada tetapi maknanya tidak juga bererti tidak bekerjasama dengan parti lain. Yang penting GRS-PH Plus adalah kerajaan negeri.
"Kita yang menentukan hala tuju kita di Sabah, kita tidak mahu orang lain yang menentukan masa depan kita di sini.
"Jadi, sebagai sebuah kerajaan yang ada pada hari ini, bagi saya kita kena membuat satu formula yang terbaik untuk negeri kita," katanya.
Selasa lalu, BN dan PH Sabah telah mengadakan pertemuan tidak rasmi, dipercayai berhubung kerjasama kedua-dua pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, pertemuan itu dikatakan bagi memupuk semangat perpaduan selaras dengan persefahaman di antara pucuk pimpinan kedua-dua parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.