TANJONG KARANG - Pertembungan tiga penjuru dilihat memberi kelebihan buat calon BN di Parlimen Tanjong Karang sekali gus diyakini mampu mengekalkan kubu kuat Umno itu.
Penyandang kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, pertembungan lebih dua penjuru membolehkan pecahan undi penyokong parti terbabit terbahagi kepada dua.
"Menurut kajian yang saya buat, sokongan pengundi BN dalam 40 peratus dan saya yakin sokongan akan bertambah sepanjang kempen nanti.
"Jika sokongan pengundi terhadap pembangkang dalam 60 peratus, mungkin sokongan pecah kepada dua...mungkin 35 peratus dan 25 peratus. Jadi, kena kerja kuat untuk kuatkan sokongan pengundi BN," katanya tadi.
Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu sah bertanding sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada pilihan raya umum 9 Mei ini.
Kerusi Parlimen Tanjong Karang berdepan pertembungan tiga penjuru apabila ditentang calon Pas, Nor Az Azlan Ahmad dan calon Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Dr Zulkaferi Hanafi.
Pegawai Pengurus Pilihan raya kawasan Parlimen Tanjong Karang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor mengesahkan pencalonan mereka di pusat penamaan calon di Dewan Dato Hormat, Tanjong Karang kira-kira jam 10pagi, tadi.
Bagi Dun Permatang, pertandingan tiga penjuru berlaku antara calon penyandang kerusi Dun Permatang (BN), Datuk Sulaiman Abdul Razak dengan calon PKR, Rozana Zainal Abidin dan juga calon Pas, Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud.
Manakala pertandingan tiga penjuru turut berlaku di Dun Sungai Burong menyaksikan pertembungan calon BN Datuk Mohd Shamsuddin Lias (penyandang), calon selebriti Pas, Mohamad Zamri Mohd Zalnuddin dan Tarmizi Mohd Lazim (Harapan).
Parlimen Tanjong Karang menjadi satu-satunya kawasan di Selangor yang mengekalkan kesemua calon BN yang bertanding pada pilihan raya umum 2013 lalu.
Parlimen itu mempunyai 47,198 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 35,382 orang, Cina (7,532), India (4,240) dan kaum lain (44).