Berjaya mempertahankan jawatan sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal sejak tahun 1995 menjadikan beliau sebagai satu nama besar di Selangor.
Tan Sri Noh Omar turut diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sejak 19 Julai 2020.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari tahun 2016 hingga 2018, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari tahun 2009 hingga 2013, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari tahun 2008 hingga 2009, Timbalan Menteri Pendidikan dari tahun 2006 hingga 2008 dan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari tahun 2004 hingga 2006.
Anak watan Sungai Burong Tanjung Karang ini pernah dilantik Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1999 hingga 2004.
Beliau dilahirkan pada 23 Februari 1958 di Sungai Burong, Tanjung Karang dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (dipilih).
Mendapat pendidikan tertinggi lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (kepujian) dari Universiti Thames Valley, London dan memperoleh Universiti Malaya Certificate of Legal Practice (CLP) pada tahun 1990.
Beliau mendapat pendidikan awal di Tanjong Karang, kemudian melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim di Johor Bahru dari tahun 1978 hingga 1979 sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Noh memulakan kerjayanya sebagai guru di sekolah menengah di Klang dan Kuala Selangor dari tahun 1980 hingga 1984.
Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Undang-Undang di Majlis Amanah Rakyat (MARA) dari tahun 1989 hingga 1992 dan kemudian berkhidmat sebagai peguambela dan peguamcara di firma guamannya, Ahmad Famy & Noh.
Sepanjang kerjayanya dalam perkhidmatan awam, beliau telah diiktiraf atas sumbangan dan pencapaiannya melalui pelbagai penghargaan.
Antaranya ialah Pingat Setia Mahkota (PSM) Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2016, Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM), Melaka dan Doktor Kehormat dari Universiti Thames Valley, London pada tahun 2009, Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP), Pahang pada tahun 2005, Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS), Selangor pada tahun 2001, Darjah Mahkota Seri Melaka (DMSM), Melaka pada tahun 2000, Kesatria Mangku Negara (KMN), Jaksa Pendamai (JP) Selangor pada tahun 1999, Ahli Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor pada tahun 1996 dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Selangor pada tahun 1994.
Selanjutnya, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting sebagai Pengerusi dan Timbalan Presiden untuk beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).