Umum calon PRU16 awal elak sabotaj - Veteran UMNO

SHAH ALAM - Cadangan memperkenalkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal dijangka mampu mengatasi unsur sabotaj.

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, perkara tersebut dapat diatasi atau dikurangkan kerana mereka mempunyai masa lama untuk 'memujuk' calon lain yang tidak dipilih bertanding.

"Kami menyokong cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani supaya pucuk pimpinan parti mengenalpasti bakal calon yang akan bertanding lebih awal bagi membolehkan mereka turun padang untuk memperkenalkan diri di kawasan bertanding.

"Pengalaman lepas, calon hanya akan dinamakan setelah dewan atau Parlimen dibubarkan. Ini bakal menimbulkan masalah seperti sabotaj dalam kalangan mereka yang tidak terpilih dan berkesudahan dengan kekalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Johari mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) lebih berani dengan mengemukakan calon yang akan menjadi wakil rakyat sebelum PRU16.

Beliau berkata, tindakan lewat mengumumkan calon itu memberi kesukaran kepada rakyat untuk mengenali individu tersebut.

Dalam pada itu, Mustapha memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju jika lebih ramai orang muda diberi peluang untuk bertanding dalam PRU16.

Ujarnya, orang lama perlu melakukan penilaian dan pemilihan calon secara profesional dengan mengenalpasti individu yang menepati kriteria sepatutnya.

"Kami harap orang lama beri laluan mudah kepada mereka (bakal calon). Orang lama juga perlu mengenalpasti bakal calon daripada kalangan tokoh muda dibahagian masing-masing secara profesional tanpa terikat dengan kroni dan keluarga.

"UMNO mesti keluar daripada cara lama kalau mahu parti ini terus relevan dan sentiasa menyesuaikan dengan kepada kehendak orang muda yang menjadi pengundi majoriti sekarang," katanya.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, parti berkenaan juga perlu berani untuk berubah walaupun sukar untuk diterima oleh sesetengah pihak.

Tambah Mustapha, UMNO mesti menyediakan golongan pemimpin pelapis seawal mungkin melalui cara mengenal pasti bakal calon yang akan bertanding.

"UMNO mesti berani berubah walaupun sukar untuk diterima oleh segelintir mereka yang merasakan merekalah 'warlord', boleh menentukan segala-galanya dalam parti.

"Hanya dengan cara ini UMNO tidak akan hilang tokoh sehingga menggagau disaat akhir," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!