Bentuk 'minda Malaysia' atasi isu 3R dalam kempen pilihan raya

SHAH ALAM - Sistem pendidikan dan ekonomi di negara ini antara aspek yang perlu dirombak untuk mewujudkan struktur Malaysia dalam usaha menoktahkan corak kempen pilihan raya bermodalkan isu perkauman oleh mana-mana parti politik.

Profesor Sains Politik UPM, Datuk Profesor Dr Jayum Jawan bagaimanapun berkata, perkara itu menjadi cabaran besar buat negara untuk membentuk semula ‘minda Malaysia’ setelah lebih 60 tahun dipandu bermain politik perkauman.

Bahkan katanya, parti politik bercorak berbilang etnik sendiri dimonopoli satu kaum seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh Melayu dan DAP oleh Cina.

“Satu cabaran amat besar untuk set semula minda kepada Malaysia dan bukan kepada Melayu, Cina dan India.



“Sistem sekolah dan banyak struktur lain seperti ekonomi perlu dirombak bagi wujudkan struktur Malaysia dan bukan kekalkan struktur untuk Melayu, Cina dan India yang telah memisahkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai isu 3R yang didakwa dimainkan Perikatan Nasional dilihat gagal menawan hati pengundi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu.Ditanya adakah perkembangan itu menjadi isyarat agar pemimpin politik Malaysia mengubah corak kempen pilihan raya dengan memberi fokus lain, beliau bagaimanapun menyifatkan ia sukar berlaku.

“Bagaimana mahu mengelakkan hal ini (kempen politik perkauman) kerana parti politik utama di Malaya adalah ditubuhkan berasaskan pertimbangan kaum.

“UMNO, Pas adalah untuk Melayu Malaya, sementara MCA untuk Cina Malaya dan MIC untuk India Malaya.

“Maka pertimbangan kaum dan kempen perkauman tidak dapat lari dari sudut itu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!