Alwiyah syukur keluarga restu

MERSING - Calon BN Dun Endau, Alwiyah Talib akui lega apabila pencalonannya dalam PRU14 mendapat restu keluarga.

Anak jati Mersing berusia 56 tahun ini memberitahu beliau menyambut berita pencalonannya dengan air mata.

“Syukur apabila saya tercalon, dipilih dan diberi kepercayaan parti untuk mewakili BN.

“Memang saya menangis apabila diberitahu dan saya sangat bersyukur kerana keluarga terutama suami dan anak-anak merestui perjalanan saya ini,” katanya.

Alwiyah merupakan calon muka baharu yang dipilih BN Johor untuk bertanding dalam PRU14 ini.

Ibu kepada empat anak ini akui selama bekerja untuk parti, beliau langsung tidak terfikir untuk bertanding.

“Saya tahu kerusi ditinggalkan (Datuk Abd Latif Bandi) adalah kerusi panas yang direbut orang berpengalaman dan orang muda.

“Tapi saya yakin dengan jentera BN Mersing malah Wanita Umno Bahagian Mersing sudah bekerja sejak tiga tahun lalu tanpa tahu siapa calon pun,” katanya.

Dalam pada itu, Alwiyah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Mersing yakin pengundi tidak terkesan dengan kes rasuah yang dipalitkan terhadap penyandang kerusi Dun Endau.

“Sepanjang kita turun kawasan, tak ada pengundi yang melahirkan kecewa atau marah libatkan kes itu.

“Kita tak boleh nafikan banyak pembangunan telah dibawa Abd Latif di Endau,” katanya.

Menurut Alwiyah, sekiranya menang, beliau akan meneruskan perjuangan Abd Latif yang tertangguh melibatkan Rumah Mampu Milik di Endau.
 

Alwiyah TalibBN Endau
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :