Kuasa rakyat di hujung jari

TARIKH 9 Mei, mencipta sejarah buat julung kalinya apabila Parlimen Kuala Pilah tumbang kepada PKR dalam tempoh 60 tahun.

Keputusan PRU14, bagi kerusi Parlimen P129 Kuala Pilah telah memihak kepada calon PKR, Eddin Syazlee Shith, meraih 18,045 undi dengan majoriti tipis 200 undi.

Dengan kemenangan itu, Eddin Syazlee  menewaskan penyandang BN selama tiga penggal  iaitu Datuk Seri Hasan Malek dengan 17,845 undian, manakala Pas diwakili Rafiei Mustapha sebanyak 4,347 undian.

Ramalan awal untuk Parlimen Kuala Pilah terus kekal kemenangan BN nyata meleset apabila suara rakyat berani memilih PKR untuk menerajui kepimpinan kerusi keramat ini untuk lima tahun akan datang.

Satu kerusi Parlimen Kuala Pilah, membarisi lima kerusi Dun adalah pertembungan sengit tiga penjuru iaitu BN, PKR dan Pas dengan menampilkan calon gah mampu merobek kubu kuat BN pada PRU14.

Kuala Pilah dikategorikan daerah luar bandar sudah mula berani menyuarakan hasrat dan impian mereka dengan memilih kepimpinan baharu hingga menolak parti keramat Umno.

Pada dasar dan pengamatan, BN boleh terus kekalkan kemenangannya pada PRU14 jika mendengar suara rakyat.

Bagaimanapun suara rakyat seolah-olah tidak berkuasa apabila berlaku percaturan kurang bijak BN, di mana masih terus mengekalkan calon lama bagi kerusi Parlimen P129 dan N18 Dun Pilah yang dilihat bakal ditolak akar umbi.

Bunga-bunga protes rakyat

Sebelum penamaan calon pada 28 April lalu, sudah ada protes di peringkat akar umbi menolak sekeras-kerasnya calon BN P129 kerana mahukan muka baharu.

Lebih nyata apabila ada rakyat berani menyatakan memilih PKR berbanding BN pada PRU14, sudah terang lagi bersuluh, ternyata peluang itu dipersia-siakan.

Meskipun suara rakyat tidak didengari tetapi jari-jemari para pengundi sangat berkuasa di hari pembuangan undi 9 Mei apabila sejarah tercipta Parlimen Kuala Pilah dan Dun Pilah jatuh ke tangan PKR.

Kerusi N18 sekali lagi mendapat tumpuan sepanjang PRU14 apabila calon PKR, Mohamad Nazaruddin Sabtu menang selesa, 5,643 undian dengan majoriti terbanyak 1,806 undian selepas menewaskan penyandang BN, Norhayati Omar dengan meraih 3, 837 undian, manakala calon Pas, Ahmad Fadhil Othman meraih 1,413 undi.

Ternyata PRU14, Mohamad Nazaruddin ‘diangkat’ setelah tewas majoriti 113 kepada BN pada PRU13.

Namun empat Dun iaitu, N15 Juasseh, N16 Seri Menanti, N17 Senaling dan N19 Johol, BN terus diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat pada PRU14 dan kali ini majoriti keempat Dun menurun berbanding PRU13.

Melihat kredibiliti Eddin Syazlee pasti mampu membawa perubahan landskap politik dalam Parlimen ini, susulan beliau adalah mantan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Pilah.

Sementara itu, pengaruh dan aura Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir di Air Mawang Johol pada 22 April lalu, memberi ‘signal’ kepada Kuala Pilah sudah bersedia menukar kepimpinan baharu.

Ternyata apa diimpikan oleh rakyat, menjadi kenyataan untuk terus memilih PKR terajui Kuala Pilah dan memelihara kebajikan rakyat.

Tunggu dan lihat kepimpinan baharu melaksanakan tanggungjawab mereka, kerana lima tahun akan datang jika PKR tidak membawa perubahan yang disenangi rakyat, tsunami rakyat pasti berulang kembali.

Eddin Syazlee yang sempat membuat ucaptama ringkas pada malam pengumuman keputusan PRU14 di dewan Datuk Bahaman Shamsudin, menyatakan rasa syukur atas sokongan daripada rakyat Kuala Pilah.

Beliau mengakui, dirinya bukan terbaik tetapi akan melakukan yang terbaik demi perubahan dalam kepimpinan baharu demi rakyat yang telah memilihnya pada PRU14.

“Terima kasih di atas sokongan sahabat dan anda semua bagi memastikan kita berjaya menawan Kuala Pilah, di atas penghargaan ini, Insya-ALLAH kita bersama-sama dengan pucuk kepimpinan membawa perubahan demi rakyat,” katanya.

 

Eddin Syazlee ShithKuala Pilah
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :