Ahli Parlimen Klang sokong Pendidikan Karakter, cadang diterap secara merentas kurikulum

SHAH ALAM – Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Pendidikan Karakter bagi memperkukuh nilai moral dalam kalangan pelajar disambut baik sebagai langkah tepat pada masa negara berdepan peningkatan kes rogol, buli dan jenayah pelajar yang turut dipengaruhi oleh penggunaan media sosial tanpa kawalan.

Namun, dalam keadaan guru sudah menanggung beban tugas yang tinggi, penambahan subjek baharu mungkin bukan penyelesaian terbaik.

Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkata, Pendidikan Karakter boleh diterapkan secara merentas kurikulum melalui subjek sedia ada seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan menggabungkan nilai empati, hormat, tanggungjawab dan integriti dalam aktiviti pembelajaran harian.

“Guru perlu diberikan masa untuk memahami dan membimbing murid dengan lebih mendalam, selain menambah bilangan kaunselor di sekolah bagi membantu mengurus tekanan emosi pelajar.

“Lawatan pakar psikologi klinikal ke sekolah juga boleh dilaksanakan secara berkala bagi membantu murid yang menghadapi tekanan emosi,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, negara seperti Jepun, Finland dan New Zealand telah membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut apabila nilai murni diterapkan dalam semua subjek dan budaya sekolah tanpa menambah subjek baharu.

“Pendekatan ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani ke arah melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berjiwa sejahtera,” tambahnya.