Martabatkan suara anak muda

PETALING JAYA - Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhammad Faiz Fadzil mahu memfokuskan dan menyuarakan pandangan berkenaan hak orang muda.

Menurutnya, hak orang muda akan terus diperjuangkan kerana pembelaan orang muda adalah amat penting dalam pembangunan negara.

"Kita akan bantu mereka dalam menyediakan fasaliti sukan selain berharap kerajaan Pulau Pinang akan  memberi peluang pekerjaan yang baik," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas sidang media khas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, sebentar tadi.

Selain itu, tambah anak bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Noor itu, kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 ini adalah petanda baik untuk rakyat Malaysia bagi proses demokrasi yang berjalan lancar hinggalah proses perlantikan perdana menteri.

Katanya, ini bermakna tertubuhlah kerajaan baharu dan jatuhnya kerajaan BN yang berusia lebih 60 tahun.

Mengulas tentang kemenangannya di Dun Permatang Pasir, beliau bersyukur kerana kemenangan ini adalah milik rakyat.

"Walaupun ia kelihatan sukar awalnya apatah lagi bertanding di kubu kuat Pas, berdasarkan isu semasa dan strategi tepat, kami berjaya menang kerusi itu, ini kemenangan berharga untuk Amanah," katanya.

Muhammad Faiz Fadzil