KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mengesahkan menerima arahan dalaman yang melarang ahli bersekongkol atau berhubung dengan mana-mana individu yang dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin parti.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, surat pekeliling Setiausaha Agung Bilangan 3 Tahun 2025 yang ditandatangani Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Sabtu lalu diterima melalui saluran rasmi parti pada petang Ahad.
Menurut beliau, arahan tersebut telah dimaklumkan kepada semua peringkat pimpinan dan ahli melalui rangkaian dalaman Bersatu negeri.
“Bersatu Kelantan menerima arahan tersebut dan telah memaklumkannya melalui saluran dalaman parti.
“Ahli-ahli di Kelantan faham maksud arahan itu dan tidak menghadapi sebarang masalah untuk mematuhi ketetapan bagi menjaga disiplin serta kesetiaan terhadap perjuangan,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Seni Negeri Kelantan 2025 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Rosnan Abdul Rahman.
Kamarudin dalam pada itu menyatakan sokongan penuh terhadap arahan tersebut yang disifatkan sebagai satu peringatan tegas kepada seluruh ahli mengenai kepentingan menjaga disiplin, etika dan tatakelakuan dalam organisasi politik.
“Arahan ini mengingatkan ahli supaya tidak terlibat dalam tindakan yang boleh menjejaskan imej dan perpaduan parti,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa jumlah keahlian Bersatu di Kelantan kini dianggarkan melebihi 50,000 orang dengan bahagian Bachok mencatatkan keahlian tertinggi iaitu lebih 5,000 ahli.
Terdahulu, surat pekeliling tersebut menyatakan bahawa setiap ahli mempunyai tanggungjawab mendukung matlamat dan tujuan parti, serta melaksanakan dasar-dasar parti selaras dengan Fasal 9.1 Perlembagaan Bersatu.
Ia juga menyatakan bahawa menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana ahli parti bersubahat dengan pihak luar termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman, untuk menghasut ahli parti atau mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan nama baik serta maruah parti, kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan Fasal 22.1(f) Perlembagaan Bersatu.