JOHOR BAHRU - BN negeri akan memberikan kerjasama bagi memastikan proses peralihan kuasa kerajaan negeri kepada Pakatan Harapan (Harapan) berjalan dengan lancar.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap kerajaan baharu yang bakal dibentuk dapat mentadbir dengan baik untuk kepentingan rakyat dan seluruhnya.
“Saya dan seluruh pasukan akan memberikan kerjasama sehabis baik untuk memastikan peralihan kerajaan negeri dapat berjalan dengan lancar, segera dan tenang.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan negeri yang baharu. Semoga Kerajaan Johor yang baharu dapat memberikan yang terbaik dan kepentingan negeri Johor dan seluruh bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perhubungan Umno negeri, di sini, sebentar tadi.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya menerima keputusan PRU14 dengan hati yang terbuka.
“BN Johor sudah bekerja kuat dan sehabis baik dalam pelbagai aspek bagaimanapun rakyat telah membuat keputusan.
“Namun, suara demokrasi rakyat saya percaya harus dihormati dan kita akan beri komitmen untuk menghormati keputusan itu. BN mengucapkan tahniah kepada Harapan yang telah berjaya membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Ditanya tentang soal kekalahannya di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dun Permas, beliau menjawab pasti ada hikmahnya.