tarik balik keputusan bubar bersatu: kit siang

BATU PAHAT - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mahukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) supaya menarik balik keputusan membubarkan parti Bersatu, baru-baru ini.

Beliau menganggap tindakan berkenaan ‘sengaja’ dilakukan kerana mahu membunuh pakatan pembangkang melalui Pakatan Harapan (Harapan) yang turut disertai oleh Bersatu, selain DAP, Amanah dan PKR.

Kit Siang berkata, jika benar Bersatu tidak layak bertanding dalam PRU14, ia agak pelik kerana tidak dibubarkan terlebih awal.

Menurutnya, perbuatan ‘membunuh’ itu dilakukan setelah melihatkan ramai penduduk negara ini mulai menyokong Bersatu, terutamanya orang Melayu meninggalkan Umno-BN dan menyertai parti berkenaan.

“Saya harapkan Isnin ini setelah pejabat ROS dibuka mereka akan dapat menjawab pertanyaan saya punca utama Bersatu dibubarkan hanya beberapa hari sebelum pilihan raya.

“Jika benar mereka ini telus dalam menjalankan tugas dan jika benar Bersatu tidak layak bertanding untuk PRU, seharusnya mereka telah membubarkannya awal-awal lagi, seperti tahun lalu atau sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui ketika Sidang Media Khas Pimpinan DAP Johor di Pusat Pilihanraya Harapan Ayer Hitam yang turut dihadiri Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Kit Siang berkata, beliau juga berharap agar semua ahli Harapan tanpa mengira parti akan dapat terus berjuang bagi memastikan kemenangan dapat dilakar dalam PRU14.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan kerusi yang akan ditandinginya, beliau memberikan gambaran akan masih bertanding di Johor tetapi akan mencari tempat lain dan bukannya di Gelang Patah.

“Saya berkemungkinan tidak akan lagi bertanding Gelang Patah dan akan mencari tempat lain yang lebih memerlukan saya tetapi saya masih lagi akan bertanding di dalam negeri Johor,” katanya.

Lim Kit SiangBatu PahatJohor
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :