IPOH - Pas digesa tampil memohon maaf secara terbuka dan mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, susulan penyebaran satu karikatur yang didakwa menghina pemimpin tertinggi negara serta dua negara jiran, Thailand dan Kemboja.
Pengarah Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Mohd Fitri Asmuni berkata, sehingga hari ini, Ahli Parlimen Pasir Mas itu masih membisu tanpa sebarang rasa kesal atau permohonan maaf berhubung tindakan tersebut.
Menurut beliau, lebih menghairankan, Pas sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi walaupun kenyataan pemimpin itu mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk rakyat dari pelbagai latar belakang.
"Tindakan beliau menyamakan konflik serius antara dua negara jiran dengan perebutan pisang oleh kambing dan biri-biri adalah terang satu bentuk provokasi dan penghinaan terbuka yang tidak beradab.
"Bukan sahaja tidak sensitif, malah memalukan imej Malaysia selaku Pengerusi ASEAN serta negara pendamai.
"Diamnya Pas memberi gambaran bahawa parti itu merestui dan menyokong kelakuan tidak bertanggungjawab beliau," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook pada Rabu.
Tambah Mohd Fitri, sebagai parti yang turut memikul imej Islam, Pas seharusnya mengambil pendirian jelas terhadap tindakan pemimpinnya yang mencetuskan kontroversi dan mencemarkan hubungan diplomatik dengan negara serantau.
"Jika Pas benar-benar tidak bersetuju, mereka perlu segera membuat permohonan maaf terbuka kepada kerajaan Thailand dan Kemboja bagi pihak rakyat Malaysia dan mengambil tindakan dengan menurunkan serta memecat Ahmad Fadhli daripada jawatan Ketua Penerangan.
“Jika tidak, maka Pas sebenarnya sedang melindungi seorang pemimpin politik yang tidak berakhlak dan tiada moral, melebihi hubungan baik yang sepatutnya dibina antara Pas dengan negara-negara jiran," katanya.
Pada Selasa, Ahmad Fadhli dilaporkan tidak berhasrat memohon maaf berhubung tindakannya memuat naik satu karikatur yang didakwa menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin Pas itu turut menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan susulan laporan yang telah dibuat oleh pelbagai pihak.