Pas yakin ‘gelombang hijau’ di Kedah

ALOR SETAR - Peluang Pas untuk bersaing dengan Barisan Nasional bagi meraih undi Melayu di Kedah pada PRU14 ini dilihat lebih tinggi berbanding Pakatan Harapan (Harapan).

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, rumusannya itu berdasarkan kekuatan jentera Pas yang merangkumi kira-kira 12,000 anggota dengan gerak kerja yang lancar dan tersusun sehingga mewujudkan semangat ‘gelombang hijau’ di seluruh negeri berbanding Harapan.

“Pada proses penamaan calon pun mereka dilihat tidak bersedia dan serius untuk bertanding sehingga ada calon ditolak pencalonan. Pas, tiga hari sebelum penamaan calon telah membuat semakan dengan Jabatan Insolvensi dan memanggil peguam.

“Tahap kesediaan Pas cukup bersungguh-sungguh kerana bagi Pas calon itu mewakili parti yang akan bertanding dan memberi impak ke atas keyakinan rakyat yang majoritinya Melayu kepada parti yang hendak bertanding.

“Isi borang pun tak kemas macam mana nak perintah negeri,” katanya di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fakhruddin berkata, Pas merasa lebih ‘selesa’ bergerak dalam blok Gagasan  Sejahtera berbanding ketika bersama Pakatan Rakyat pada PRU13 kerana boleh meletakkan calon bertanding di 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah seperti yang diinginkan penyokong Pas.

Beliau juga menyangkal dakwaan Harapan bahawa Pas akan jadi punca kekalahan mereka apabila melibatkan pertandingan tiga penjuru kerana Pas memecahkan undi Melayu.

“… saya rasa mereka yang mengganggu undi Pas untuk Pas memenangi pilihan raya nanti,” katanya. - Bernama

Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi