Terima pandangan, kritikan Rafizi secara terbuka - Akmal Nasrullah

PORT DICKSON – Semua pihak seharusnya bersikap lebih terbuka terhadap apa sahaja pandangan dan kritikan yang dilontarkan oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pengalaman serta penglibatan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam pentadbiran kerajaan tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

“Bagi saya, dari segi pandangan atau pendirian oleh mana-mana pihak, kita perlu bersifat lebih terbuka dan kita tidak boleh nafikan pengalaman serta penglibatan beliau.

“Yang lebih penting, kita melihat kepada substantif isu yang dinyatakan agar kritikan itu dapat diambil secara positif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Lestari PETRA Residensi PR1MA Port Dickson (RPPD) di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, teguran yang dikemukakan oleh Rafizi boleh dijadikan ruang untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Beliau juga percaya bahawa Rafizi hanya mahu melihat perubahan yang lebih baik buat negara.

“Kita kena melihat dan mengambil teguran itu supaya ada tindakan yang lebih proaktif kerana ini adalah ruang dan proses yang tersedia pada hari ini.

“Perkara itu juga sebenarnya lebih kepada tujuan membina dan untuk sama-sama melihat perubahan yang lebih baik buat negara,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Rafizi yang memberi bayangan berkemungkinan tidak akan kembali ke barisan pimpinan parti pada masa akan datang, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, sesiapa pun mengetahui bahawa Rafizi merupakan individu yang mempunyai pendirian dan prinsip.

“Kita kenal beliau seorang yang berpendirian dan berprinsip. Jadi perkara itu tidak perlu dilihat dari sudut tindak balas yang pelbagai.

“Bagi saya, itu adalah pendirian beliau yang perlu kita hormati, cuma mesejnya itu agak jelas,” katanya.

Mengenai Program Komuniti Lestari PETRA, beliau berkata, bagi memastikan komuniti turut memainkan peranan secara langsung dalam menjaga dan memelihara sungai, Sungai Lukut Kecil telah dijadikan sebagai sungai angkat kepada Persatuan RPPD.

Beliau turut bersetuju agar sungai tersebut dinaik taraf sebagai kawasan rekreasi dengan mewujudkan infrastruktur dan landskap, pondok riadah, termasuk trek joging serta trek basikal di sepanjang 500 meter yang bersempadan antara Sungai Lukut Kecil dan kawasan residensi tersebut.