Gelombang perpaduan Harapan mampu tumbangkan BN

ALOR SETAR - Semangat perpaduan dalam kalangan ahli Pakatan Harapan (Harapan) hari ini mampu menewaskan BN pada PRU14.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, BN hari ini semakin bimbang dengan gelombang perpaduan yang ditunjukkan penyokong Harapan dalam kalangan ahli Amanah, PKR dan DAP.

“Pada penamaan calon baru-baru ini sudah tidak kenal lagi calon mana yang mereka wakili. Semua ahli Harapan memberi sokongan kepada calon mereka dan ini menunjukkan perpaduan yang kuat.

“Gelombang ini sangat dibimbangi BN dan hari ini terbukti setiap program ceramah yang dianjur Harapan pasti akan mendapat sambutan.

“Saya kagum dengan semangat ahli Harapan hari ini kerana kedatangan mereka bukan dibayar atau ditaja mana-mana pihak. Mereka datang dengan semangat untuk menumbangkan BN pada PRU nanti,” katanya semasa mengadakan ceramah isu semasa di Taman Derga Jaya, di sini kelmarin.

Harapan juga turut kecewa dengan tindakan pegawai pilihan raya yang menyebabkan dua calon mereka tidak dapat menyertai pada PRU nanti.

Menurut Mohamad Sabu, dua peristiwa yang berlaku di Dun Rantau dan Parlimen Batu sangat mengecewakan dan tidak dapat diterima Harapan.

“Kegagalan calon memiliki tag Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan permohonan calon Harapan ditolak. Saya nak maklumkan hanya empat sebab saja setiap permohonan calon boleh ditolak. Pertamanya ialah mengenai kesihatan calon, status kewangan sama ada bankrap, calon mesti bermastautin tempat sendiri bagi calon Dun dan penyokong serta pencadang hendaklah pengundi di Dun atau Parlimen itu.

“Syarat itu langsung tidak mewajibkan calon memiliki tag SPR, tetapi masalah itu menyebabkan permohonan pencalonan ahli Harapan ditolak. Tag SPR hanya sekadar digunakan untuk ke luar masuk ke pusat pencalonan dan langsung tidak menjejaskan pencalonan seseorang itu,” katanya.

Mohamad SabuRantau Batu
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :