Rumah ‘diserbu’ pengundi

BAGAN SERAI - Calon PKR Parlimen Bagan Serai, Adam Asmuni, 33, tidak menyangka rumah keluarganya di Kampung Parit Usin, di sini ‘diserbu’ sebilangan pengundi sejurus diberi mandat sebagai calon bertanding di Parlimen itu.

‘Serbuan’ itu amat mengejutkan Adam dan tindakan itu gara-gara ramai pihak pada mulanya tidak mempercayai beliau merupakan anak tempatan Parlimen Bagan Serai berketurunan banjar.

“Ibu bapa saya turut terkejut apabila ada sahaja pengunjung yang datang dari pelbagai kawasan di Parlimen bertanyakan soalan bertalu-talu, sama ada saya ini benar-benar berasal dari sini dan berlatar belakangkan banjar.

“Apabila diberi penjelasan, mereka berpuas hati dan menjelaskan tindakan mereka itu atas sebab serik menerima calon luar. Mereka turut berpuas hati apabila gabungan pembangkang menampilkan calon muda yang berpotensi seperti saya untuk merampas kembali  kerusi dimenangi BN pada PRU13,” katanya.

Adam turut menganggap pengalaman kali pertama bertanding pada PRU sebagai calon muda tidak menjejaskan peluangnya meraih sokongan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.

Mengakui berdepan cabaran getir tiga penjuru menentang penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan calon wanita Pas, Rohaya Bakar, Adam yakin mampu mencipta kejutan berdasarkan gelombang pengundi melayu kini beralih sepenuhnya kepada PKR-Harapan.

“Lagipun saya sudah turun padang menemui lebih 50 peratus pengundi Parlimen Bagan Serai sejak tiga tahun lalu.

“Lebih membanggakan, usaha saya turun padang bukan ‘bermusim’ seperti didakwa Noor Azmi sebelum ini dan buktinya, pengundi Cina dan India lebih mengenali saya berbanding wakil rakyat,” katanya.

Adam turut memberi jaminan akan melaksanakan transformasi sistem pengurusan pertanian padi di Parlimen Bagan Serai sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat selepas PRU14.

“Saya juga akan memastikan kemudahan infrastruktur dan prasarana kemudahan awam seperti jalan raya, lampu jalan dan balai raya dapat disediakan di seluruh kawasan tebuk dan kampung,” katanya.

Adam AsmuniBagan Serai PKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :