KOTA KINABALU – DAP kekal mengamalkan dasar progresif dengan memberi ruang besar kepada golongan muda dan wanita untuk diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, langkah itu selaras dengan prinsip DAP sebagai parti sosial demokrat yang mendukung kesamarataan gender serta memberi peluang sama rata kepada semua golongan dalam kepimpinan politik.
"DAP adalah parti yang memberikan peluang paling besar kepada anak muda dan paling banyak kepada wanita. Kita adalah parti yang progresif, muda, dan mendukung kepimpinan wanita.
"Orang lain bercakap tentang 30 peratus pun belum sampai tetapi hari ini saya umumkan bahawa senarai calon DAP Sabah terdiri daripada 50 peratus calon wanita," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengumuman Calon-Calon PH-DAP Sabah di sini pada Sabtu.
Katanya, komitmen itu membuktikan penghormatan serta usaha parti memartabatkan peranan wanita dalam politik dan kepimpinan negara.
"Separuh daripada calon kita adalah wanita, iaitu 50 peratus daripada lapan kerusi yang ditandingi.
"Ini cara kita menghormati dan mengangkat peranan wanita kerana mereka juga mampu menjadi pemimpin hebat.
"Lelaki dan wanita sama penting, dan kita mesti ada keseimbangan dalam kepimpinan,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya, DAP akan bertanding di lapan kerusi pada PRN kali ini dengan lima daripada calonnya berusia bawah 40 tahun.
"Purata umur calon yang diketengahkan hanya 39 tahun, sekali gus menjadikan DAP antara parti yang menampilkan barisan paling muda dalam PRN kali ini.
"Kita percaya anak muda mesti diberi peluang untuk memimpin, barulah kita ada masa depan," ujarnya.