SHAH ALAM - Seorang perwakilan menegur ketiadaan wakil pemimpin parti lain dalam Kerajaan Perpaduan yang menghadiri Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) pada kali ini.
Perwakilan Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, perkara tersebut perlu disemak bagi memastikan ia tidak berulang pada masa akan datang.
Menurutnya, kehadiran wakil parti dalam kerajaan bagi mendengar sendiri amanat yang akan disampaikan Presiden, Datuk Seri Mohamad Sabu penting memandangkan ia merupakan perhimpunan tertinggi Amanah.
“Saya dari Perak ingin membuat teguran. 10 tahun kita mengadakan konvensyen, 10 tahun kita berada dalam persada pentas politik .10 tahun kita hidup jatuh bangun dalam Amanah hari ini tiada wakil pimpinan parti lain yang hadir.
“Saya kena sebut benda ini. Ini bukan konvensyen negeri, bukan mesyuarat kawasan tapi ini konvensyen Amanah Nasional. Betul kita berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tapi bagaimanapun kehadiran mereka harus dan dijemput,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2025 Amanah di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini pada Sabtu.
Tambahnya, ketiadaan wakil parti lain dalam Kerajaan Perpaduan menghadiri konvensyen berkenaan juga boleh memberi persepsi negatif kepada parti.
Ini kerana katanya, pemimpin dan ahli akar umbi pasti bertanyakan mengenai kehadiran wakil pemimpin parti lain.
“Kalau kita balik ke negeri masing-masing mereka tanya siapa yang hadir? Tiada ke pimpinan yg hadir?
“Saya minta supaya disemak semula dan harap tahun depan dan seterusnya tidak berlaku keadaan sebegini rupa,” katanya.