SHAH ALAM - Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak wajar disertai dengan reformasi dasar bagi memastikan amalan demokrasi tempatan benar-benar bermakna dan berkesan.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, antara langkah utama yang wajar dipertimbangkan ialah penetapan tarikh tetap bagi pilihan raya dan jaminan ruang kempen negeri.
“Secara keseluruhannya, pilihan raya serentak bawa manfaat besar dari segi kos, kemudahan dan kecekapan, tetapi berpotensi melemahkan fokus terhadap isu negeri dan semangat federalisme.
“Jika mahu dilaksanakan, ia wajar disertai dengan reformasi dasar seperti penetapan tarikh tetap pilihan raya dan jaminan ruang kempen negeri agar demokrasi tempatan kekal bermakna,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sekali lagi menyatakan pendirian parti itu yang menyokong pelaksanaan PRU dan PRN serentak.
Selain DAP, Parti Amanah juga kekal dengan pendirian menyokong supaya kedua-dua pilihan raya itu diadakan serentak bagi menjimatkan kos dan memudahkan pengurusan.
Mengulas lanjut Mujibu memberitahu, pelaksanaan PRU dan PRN secara serentak mempunyai dua sisi jelas iaitu manfaat praktikal kepada rakyat dan kerajaan serta risiko terhadap kualiti demokrasi dan kebertanggungjawaban negeri.
“Dari sudut kebaikan, pilihan raya serentak mampu beri penjimatan kos dan sumber negara besar. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos PRN enam negeri pada Ogos 2023 sekitar RM420 juta dan jumlah itu boleh dikurangkan hampir separuh jika pilihan raya dijalankan serentak,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, langkah itu mampu mengurangkan gangguan berulang kepada pentadbiran awam, keselamatan dan aktiviti ekonomi kerana rakyat serta institusi hanya perlu melalui satu fasa pilihan raya dalam satu tempoh.
Mujibu mengakui, langkah terbabit turut memberi kemudahan kepada pengundi luar kawasan yang hanya perlu pulang sekali untuk mengundi.
“Dari sudut politik pula, pilihan raya serentak boleh mewujudkan kestabilan jangka sederhana, kerana kerajaan Pusat dan negeri akan mempunyai tempoh mandat yang selaras, membolehkan dasar ekonomi dan sosial diselaraskan dengan lebih efektif,” ujarnya.
Namun di sebalik kebaikan tersebut, Mujibu turut berpandangan pilihan raya serentak berisiko menyebabkan isu-isu negeri tenggelam dalam kempen nasional, menjadikan pengundi menilai berdasarkan sentimen Persekutuan, bukan prestasi kerajaan negeri.
“Ia juga menguntungkan parti besar dengan jentera nasional, sekali gus menyukarkan calon Bebas menonjol.
“Dari sudut demokrasi, keadaan itu boleh mengurangkan akauntabiliti kerajaan negeri kerana prestasi mereka tidak lagi dinilai secara berasingan,” ujarnya lagi.
Beliau memaklumkan, isu teknikal dan perundangan juga boleh timbul kerana tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak seragam di setiap negeri.
Dalam perkembangan sama, kongsi Mujibu, pengalaman PRU15 dan PRN enam negeri pada tahun 2023 membuktikan bahawa risiko pengundi tidak kembali mengundi dua kali memang wujud apabila pilihan raya diadakan berasingan.
“Data rasmi SPR menunjukkan kadar keluar mengundi PRU15 ialah 74.13 peratus, manakala PRN enam negeri sedikit menurun antara 70 peratus hingga 73 peratus.
“Di Kedah, statistik menunjukkan 73.9 peratus, Selangor (72 peratus), Pulau Pinang (70.6 peratus), Negeri Sembilan (68.4 peratus), Kelantan (70 peratus) dan Terengganu (73 peratus),” ujarnya.
Beliau memberitahu, penurunan sekitar tiga hingga lima peratus menunjukkan adanya segmen pengundi khususnya pengundi luar kawasan, muda dan pengundi bandar tidak kembali mengundi kali kedua.
Bagaimanapun, Mujibu memaklumkan, negeri seperti Kelantan dan Terengganu menunjukkan kadar keluar mengundi kekal tinggi, mencerminkan kekuatan mobilisasi dan semangat penyokong teras Pas.
Justeru beliau menyifatkan, risiko pengundi malas balik dua kali memang wujud, namun ia tidak menyeluruh.
“Dalam konteks politik Malaysia semakin matang, parti yang mampu mengekalkan naratif segar, kempen berasaskan isu rakyat dan mobilisasi efektif masih berpotensi menarik penyertaan tinggi walaupun pilihan raya diadakan secara berasingan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berpandangan, pelaksanaan pilihan raya secara serentak merupakan langkah baik kerana menjimatkan kos, memudahkan urusan logistik dan berpotensi meningkatkan kadar keluar mengundi.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa langkah terbabit berkemungkinan menyebabkan tumpuan kempen lebih tertumpu kepada isu nasional,.
Mashitah turut meluahkan kebimbangan bahawa parti kecil juga berdepan kekangan sumber untuk berkempen di dua peringkat serentak.
Beliau tidak menolak kemungkinan risiko pengundi tidak pulang mengundi dua kali memang wujud, terutama bagi mereka yang tinggal di luar kawasan jika pilihan raya diadakan berasingan.
“Walaupun begitu, pilihan raya berasingan memberi kelebihan kerana rakyat dapat menilai prestasi kerajaan negeri secara lebih objektif,” katanya lagi.