KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mengesahkan parti itu akan bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Beliau berkata, proses pemilihan calon kini berada pada peringkat akhir dengan persiapan giat dijalankan di kawasan yang telah dikenal pasti.
“Saya difahamkan Pas akan bertanding lima kerusi dan salah satunya ialah DUN Karambunai.
"Di situ, Pesuruhjaya Pas Negeri Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan sendiri akan bertanding kerana kawasan itu antara yang berpotensi tinggi untuk dimenangi,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.
Menurutnya, setakat ini perbincangan terakhir menunjukkan Perikatan Nasional (PN) mungkin bertanding 40 kerusi keseluruhannya di PRN17 Sabah, namun pengumuman rasmi akan dibuat pada 11 November ini.
Ujarnya, kesemua calon akan bertanding menggunakan logo PN.
Dalam pada itu Mohd Amar memberitahu, Pas yakin PN mampu menawarkan pembaharuan dan wajah baharu kepada rakyat Sabah selepas berdepan pelbagai isu yang membelenggu negeri itu sejak sekian lama.
“Pendekatan PN di Sabah adalah membawa pembaharuan dan perubahan sebenar. Isu terbesar di Sabah ialah rasuah serta soal peruntukan. Bukan kerana peruntukan tiada tapi tidak sampai kepada rakyat,” jelasnya.
Tambahnya, dengan isu rasuah dan kes-kes semasa seperti kes Zara Qairina yang mendapat perhatian umum, pembangkang berpotensi menggunakan situasi tersebut sebagai senjata politik jika mampu membawanya dengan bijak.
Menurut Mohd Amar, kalau pembangkang pandai bawa isu ia boleh beri kesan kepada kerajaan.
Dalam aspek gerak kerja kempen pula, katanya, jentera Pas dari Semenanjung akan digerakkan membantu kempen di Sabah mengikut kawasan yang ditetapkan bagi memastikan kemenangan calon PN.
“Kita sudah arahkan negeri-negeri supaya bertugas di kawasan masing-masing di Sabah bagi memperkukuhkan jentera pilihan raya.
“Harapan kita, rakyat Sabah dapat menilai dan beri peluang kepada PN untuk membawa perubahan yang sebenar demi kebaikan mereka,” katanya.