Rayer dakwa Muhyiddin khianati kaum India

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa kerajaan ketika di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merampas kuasa dan melakukan khianat terhadap kaum India.

Dakwaan tersebut dibuat Rayer ketika bangun mencelah penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat pada Selasa.

Situasi itu secara tidak langsung mencetuskan pertikaman lidah antara ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang.

Rayer mendakwa pembangkang selalu membangkitkan isu-isu sekolah Tamil di Dewan Rakyat namun tidak pernah berbincang mengenai isu pembangunan sekolah Tamil termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan dengan lantang bahawa kelmarin kita lihat (Ahli Parlimen) Pagoh (Muhyiddin) berkata kerajaan (di bawah Perikatan Nasional) sudah bersedia ke Putrajaya.

"Tetapi semasa Pagoh mentadbir sebelum ini, beliau tidak pernah berbincang mengenai SJKT Ladang Jeram. Dia hanya 'merampas kuasa' (dan) melarang kita untuk mengadakan sidang media di Parlimen mengenai isu sekolah Tamil.

"Tolonglah Pagoh, jangan tipu kaum India lagi. Sudah cukup," katanya.

Susulan itu, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) bangun membangkitkan peraturan mesyuarat 36 (6) yang menyatakan Rayer membuat sangkaan jahat dan boleh mengelirukan Dewan Rakyat.

"Ada dua perkataan yang dikeluarkan oleh Jelutong tadi. Pertama, merampas kerajaan. Kerajaan yang ditubuhkan oleh PN direstui oleh Yang di-Pertuan Agong (ketika itu).

"Apakah kita mahu katakan bahawa itu sebuah rampasan? Kita bukan pakai ketenteraan. Ini tidak betul, sangkaan jahat dan mengelirukan.

"Yang kedua dia sebut bahawa Pagoh khianat kepada masyarakat India. Ini pun tidak boleh disebut begitu. Tuan Yang Dipertua, tidak boleh biarkan dia terus bercakap membawa retorik seperti itu kerana ini jelas bercanggah dengan peraturan mesyuarat," katanya.

Rayer kemudiannya bangun dan menyatakan beliau menarik balik kata-katanya berhubung 'merampas kerajaan'.

"Saya boleh tarik balik kenyataan merampas kerajaan, saya guna istilah pintu belakang atau tebuk atap, tak salah.

"Kedua, saya berpendirian Pagoh tidak membela kaum india dan saya tidak akan tarik balik kenyataan itu," tegasnya.