KOTA KINABALU - Parti Warisan menyelar tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang didakwa lebih berminat menyerang partinya itu berbanding memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya iaitu menurunkan kos sara hidup, terutama di Sabah.
Naib Presidennya, Datuk Junz Wong menggesa supaya Ahli Parlimen Papar itu berhenti membuang masa menyerang pembangkang sedangkan kos sara hidup semakin membebankan rakyat Sabah.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aruturut menyatakan rasa kecewa kerana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menteri tersebut didakwa lebih berminat bermain politik.
"Ketika Armizan sibuk berpolitik, rakyat Sabah bergelut untuk membeli beras, telur, minyak masak, susu, tepung dan ubat-ubatan.
"Semuanya jauh lebih mahal di sini berbanding di Semenanjung," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa harga barang yang tinggi di Sabah bukanlah isu baharu dan ia berpunca daripada masalah struktur yang diketahui umum seperti kebergantungan tinggi terhadap barangan import, infrastruktur yang lemah, pasaran yang berselerak, dan aliran perdagangan yang tidak seimbang.
"Walaupun memegang portfolio kos sara hidup sejak Julai 2023, beliau masih gagal menunjukkan sebarang penambahbaikan yang bermakna.
"Apa yang kita dengar hanyalah slogan kosong ‘kami sedang memantau’, ‘kami ada pelan tindakan’ tetapi tiada hasil yang kelihatan," dakwanya.
Junz turut mendakwa bahawa pelbagai program bantuan dan subsidi yang diumumkan oleh menteri itu hanyalah retorik yang tidak berkesan dan bersifat terpilih.
Malah dakwanya lagi perkara tersebut sering diumumkan dengan penuh gimik tetapi tidak membawa kelegaan sebenar kepada rakyat.
"Rakyat Sabah tidak mempolitikkan isu ini, mereka sedang menderita. Setiap hari, keluarga bergelut dengan harga yang semakin tinggi untuk barangan seperti beras, telur, kopi, roti dan ayam.
"Daripada mengakui kesusahan mereka, Armizan menolak kritikan sebagai mainan politik. Malah berani menyalahkan fenomena global sebagai punca kos sara hidup yang tinggi," katanya.