'Muhyiddin perlu lerai kekusutan'

SHAH ALAM - Pembunuhan karakter yang sudah pun berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berterusan sekiranya pimpinan parti enggan duduk semeja bagi mencari jalan penyelesaian segera dan mampu memuaskan hati semua pihak.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kemelut dalam Bersatu ketika ini semakin meleret apabila media dijadikan penyalur maklumat dalaman masing-masing, bermula daripada transisi peralihan jawatan presiden hingga pemecatan dan penggantungan ahli parti.

Jika dibiarkan berpanjangan, Sivamurugan berpendapat ia boleh membawa kepada krisis keyakinan dan kepercayaan ke atas parti serta pimpinannya.

“Macam kita semua lihat, isu ini dibawa oleh mereka yang mempunyai sumber dan informasi dalaman. Jadi, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera meleraikan kekusutan ini.

“Malah dengan wujudnya 16 ahli Parlimen Bersatu yang sudah menandatangani surat (tidak termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Seri Hamzah Zainudin) kemudian hantar kepada Muhyiddin, jika benar (berlaku) maka keputusannya lebih buruk.

“Justeru, perkara yang perlu disegerakan adalah berbincang dan berunding untuk mencari jalan penyelesaian menang-menang kerana impaknya bukan sahaja kepada Bersatu, tetapi juga Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, seramai 16 ahli Parlimen Bersatu menandatangani sepucuk surat yang diserahkan kepada Muhyiddin bagi menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.

Melalui surat bertarikh 23 Oktober lalu itu, mereka turut menegaskan pendirian bahawa pemecatan Wan Saiful dan penggantungan keahlian Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal sebagai langkah tidak bijak.

Mereka menyifatkan hukuman itu tidak kena pada masanya sekali gus dilihat boleh mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan PN oleh Hamzah.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berpandangan bahawa pemecatan atau pengguguran ahli cuma jalan penyelesaian jangka pendek.

“Jalan penyelesaian jangka panjang adalah tindakan yang mampu memelihara penyatuan dalam parti, bukannya bergerak ke arah perpecahan,” jelasnya.