Akar umbi Bersatu Hang Tuah Jaya teguh sokong Muhyiddin

MELAKA - Barisan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hang Tuah Jaya menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti serta barisan kepimpinan pusat yang sah.

Dalam satu kenyataan bersama pada Ahad, mereka yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua Cawangan, Srikandi dan Armada menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan sedia ada mampu membawa agenda pemulihan dan kestabilan parti berasaskan prinsip integriti serta amanah.

Menurut kenyataan itu, mereka turut menyokong sebarang keputusan Lembaga Disiplin Parti, termasuk tindakan terhadap bekas Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, bagi memastikan integriti parti terus terpelihara.

“Kami menolak keras mana-mana individu yang telah dipecat tetapi masih menggunakan nama dan kapasiti Ketua Bahagian. Tindakan seperti itu hanya menggugat kestabilan dan mencemar imej parti,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap kenyataan Mohd Azrudin Md Idris, bekas Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, yang sebelum ini mengkritik Muhyiddin dan mendakwa parti tidak memerlukan presiden yang hanya mendapat restu isteri.

Menerusi kenyataan itu, akar umbi menegaskan bahawa perjuangan politik perlu berlandaskan disiplin, kesetiaan dan akhlak, bukan retorik yang memecahbelahkan ahli.

“Kami tidak terlibat dengan mana-mana usaha atau kenyataan yang bercanggah dengan semangat perpaduan parti.

“Kami turut meminta kepimpinan pusat memberikan penjelasan rasmi mengenai kedudukan terkini Bahagian Hang Tuah Jaya bagi menjamin ketelusan dan kesinambungan pentadbiran di peringkat akar umbi.